KEMAMAN – [Lihat Video] Cuaca yang agak baik pada Khamis memberikan ruang kepada para petugas PAS untuk melanjutkan usaha membantu mangsa-mangsa banjir.
Air bah yang agak surut juga membantu pasukan sukarelawan dan Unit Amal PAS melebarkan ‘misi’ ke kawasan-kawasan yang tidak boleh dicapai semalam.
Arus yang tenang berbanding semalam, membolehkan bot-bot penyelamat menyusuri aliran banjir sehingga ke Kampung Paya Berenjut di selatan DUN Chukai dan menghala ke timur, ke kawasan DUN Air Putih.
Bukan sahaja dapat menembusi Kampung Air Putih dan kampong Teladas yang telah putus hubungan sejak dua hari yang lalu, kem Jawatankuasa Banjir PAS Kemaman diceriakan dengan kehadiran Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Sebelum meneruskan ‘ekspedisi’ menziarahi Air Putih dan Kampung Teladas, Ustaz Hadi melawat pusat pemindahan banjir di Sekolah rendah Bukit Mentuk, sebaik selesai taklimat yang disampaikan oleh Pengarah Jawatankuasa Banjir di Pejabat PAS Kemaman, Haji Zulkifli Mat Yakim.
Beliau turut menyampaikan sumbangan berupa, biskut dan keperluan ‘ringan’ kepada mangsa-mangsa perpindahan.
Selepas itu, Ustaz hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dibawa melawat jambatan yang telah runtuh, di Limbong, terletak ditengah Bandar Chukai.
Beliau yang diringi oleh ADUN Chukai, Haji Hanafiah Mat turut bersalaman dan beramah mesra dengan orang ramai yang ditemui dalam Bandar tersebut.
Selepas itu, Ustaz Hadi menaiki bot menuju ke kampung Air Putih dan Kampung Teladas yang terletak dalam DUN Air Putih, kira-kira 30 kilometer dari Bandar Chukai.
Rombongan beliau turut disertai oleh Yang DiPertua PAS Kawasan Kemaman Ustaz Alias Abdul Hamid.
Dikiri-kanan laluan bot, hampir keseluruhan rumah-rumah penduduk yang masih ditenggelami air, sehingga ke bahagian atap.
Ketika berada di kampung Air Putih dan Kampung Teladas, beliau telah dibawa meninjau kerosakan yang menimpa penduduk setempat.
Kedua-dua kampung tersebut telah ditenggelami keseluruhannya apabila banjir melanda pada 3 Disember lalu.
Antara kemusanahan akibat banjir itu, tiga buah rumah penduduk telah musnah dipukul dan dihanyutkan arus deras, apabila air naik secara mendadak.
Ustaz Abdul Hadi telah mengarahkan semua masjid, bermula esok Jumaat, 6 Disember, agar membuat kutipan derma dan sumbangan samada dalam bentuk wang ringgit, pakaian dan makanan serta keperluan lain seperti lampin pakai buang dan air mineral, untuk disalurkan kepada mangsa yang terjejas akibat banjir
Lawatan Presiden PAS itu berakhir dengan solat maghrib dan makan malam bersama penduduk setempat di kampong Teladas pada kira-kira jam 7.30 petang.










