PAS Kesal Ugutan KDN Kepada Anwar, Jangan Guna ISA Tutup Kelemahan

880

Apa yang dikatakan oleh Anwar itu adalah persepsi masyarakat Malaysia pada masa ini dan

Kementerian Dalam Negeri (KDN) sewajarnya mengambil kenyataan itu sebagai satu teguran. Persepsi rakyat juga melihat bahawa Umno cuba mendalangi isu ini. Maksud mendalangi itu luas kerana segalanya berpunca dari kelemahan Umno yang meletakannya salah seorang pemimpinnya sebagai Menteri KDN, tetapi gagal memainkan peranannya. Sewajarnya KDN menyelesaikan isu ini secara diplomasi dan rundingan bukannya membiarkan NGO-NGO pro-Umno menghangatkan isu ini dengan demontrasi serta pelbagai provokasi.

PAS menghormati tugas pihak Polis dan KDN, tetapi kelembapan KDN bertindak boleh menyebabkan isu ini mencetuskan ketegangan yang berpanjangan. Berulang kali Hishamuddin menyebut bahawa KDN sudah kenal pasti suspek, tetapi hingga hari ini tiada satu tangkapan pun dibuat. Menteri sepatutnya ‘walk the talk’ bukan ‘Talk the walk” sahaja.

Ugutan kali kedua tentang penggunaan ISA semalam juga mengukuhkan persepsi bahawa Menteri sedang cuba menutup kelemahannya dalam menguruskan isu ini. Bila  ada sahaja isu yang gagal ditangani, Menteri akan ugut ISA. Sikit-sikit ugut ISA, macam perangai budak tadika.

PAS tegas untuk menolak ISA dan mahu ianya dimansuhkan. PAS juga melihat amaran penggunaan ISA kali kedua ini menghampiri Ops Lalang kedua dimana orang-orang yang bersalah tidak dibawa ke Mahkamah, tetapi orang yang persoalkan tindakan lembap KDN pula ditahan di kamunting. Ini jelas sebagai satu strategi untuk menjadikan dilihat BN begitu dominan.

Dengan pengalaman yang ada, percaturan politik BN sudah dapat dibaca rakyat. Oleh itu, PAS mengingatkan KDN supaya bertindak bijak, bukannya menurut hawa nafsu politik Menteri yang mahu menyelamatkan partinya yang kini terdesak untuk memulihkan keyakinan rakyat dan mahu dilihat ‘juara rakyat’ dengan mengorbakan pimpinan Pakatan.

PAS berharap isu ini dapat diselesaikan melalui pendakwaan di Mahkamah dan menyeru agar semua pihak agar terus bertenang disamping mengukuhkan perpaduan serta saling bertolak ansur. Marilah kita berkongsi seruan dari Allah swt;

“Wahai manusia! Sesungguhnya, Kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal…” (Al-Hujurat; 13).

Ust. Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat