Banjir Semakin Buruk

1409

KUALA TERENGGANU – Keadaan banjir semakin buruk dengan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan Selasa 3 Disember, meningkat kepada 811 orang berbanding, 20 mangsa Isnin petang.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negeri (MKN) sehingga jam 3 petang, seramai 50 orang telah dipindahkan di daerah Dungun melibatkan 12 keluarga yang ditempat di dua pusat pemindahan.

Manakala seramai 761 orang dari 195 keluarga telah dipindahkan ke 24 pusat pemindahan di daerah Kemaman.

banjir h trgPusat pemindahan banjir terdiri daripada rumah tamu, masjid, bangunan sekolah, dewan orang ramai, masjid dan surau.

Dua batang jalan di daerah Kemaman ditutup kepada semua kenderaan iaitu di Jalan Kampung Teladas dan Jalan Paya Seratus berikutan dinaiki air setinggi 0.6 hingga 1.6 meter.

Sementara Jalan Jerangau-Jabor ditutup kepada kenderaan ringan.

Paras air sungai Kemaman di Jambatan Air Puteh dan Hulu Jabor juga dilaporkan sedang meningkat dan berbahaya.

Di daerah Hulu Terengganu, tiga batang jalan ditutup kepada semua kenderaan pagi ini kerana ditenggelami air banjir sedalam 0.6 hingga 1.5 meter. [Gambar atas]

Jalan-jalan berkenaan ialah Jalan Utama Felda Tengkawang ke Lubuk Periok, Jalan Felda Tengkawang ke Kampung Peneh dan Jalan Bukit Diman ke Pengkalan Ajal.

Agensi Bernama turut melaporkan Banjir di Pahang semakin buruk apabila lebih 5,000 mangsa dipindahkan di pusat pemindahan banjir di empat daerah.

Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, daerah terlibat ialah Rompin, Kuantan, Pekan dan Maran.

“Di Rompin seramai 2,595 mangsa dari 23 kampung terlibat ditempatkan di enam pusat pemindahan,” katanya ketika dihubungi di sini, Selasa. [Gambar bawah – masjid al-Fatah Kuantan di genangi air banjir]

masjid alfatah banjirKatanya, di Pekan sebanyak enam kampung terlibat dengan 341 mangsa dipindahkan ke enam pusat pemindahan.

Di Kuantan, seramai 1,824 mangsa dari 23 kampung dipindahkan ke 23 pusat pemindahan.

Di Maran, 633 mangsa banjir dari sembilan buah kampung ditempatkan di tujuh pusat pemindahan.

Keadaan banjir dijangka bertambah buruk berikutan hujan lebat berterusan sejak dua hari lepas.

Menurut jurucakap itu, Jambatan Sungai Charu di Kilometer 28 Jalan Sungai Lembing-Kuantan ditutup kepada semua kenderaan berikutan air naik setinggi satu meter.