Kenyataan Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkaitan dengan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) seperti yang disiarkan oleh akhbar harian (19/11/2013), iaitu untuk mengekalkan pelaksanaannya menunjukkan sikap degil dan tidak bertanggungjawab.
Sepatutnya gesaan yang dilakukan oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (KPPK -NUTP) didengari dan kerajaan perlu mencari jalan penyelesaian bersama dengan KPPK.
Menurut akhbar tersebut, beliau menyatakan telah mengambil kira pandangan pelbagai pihak, termasuk orang ramai adalah suatu pembohongan dalam pembentukan dasar-dasar awam. Sekiranya pendapat semua kumpulan telah diambil kira, mengapa KPPK menentang dan menggesa agar ia dimansuhkan. Pendirian KPPK itu membuktikan kerajaan telah membuat keputusan sebelah pihak ketika membuat keputusan yang sangat besar itu.
Guru-guru sendiri telah menyatakan sikap mereka terhadap pelaksanaan PBS. Janganlah Kementerian Pendidikan menjadi majikan yang degil dan tidak mahu mendengar aduan walaupun guru telah tampil menyuarakan hasrat mereka.Sejarah pembangunan pendidikan di Malaysia cukup untuk membolehkan pihak kerajaan, NGO dan mereka yang terbabit dalam bidang pendidikan bersama-sama memajukan pendidikan di negara ini.
Kita menggesa kerajaan supaya menubuhkan Majlis Perundingan Pendidikan Negara yang disertai oleh semua pihak bagi menangani dan menyelesaikan masalah yang dihadapi berhubung dengan PBS dan lain-lain dalam bidang pendidikan.
Sekiranya Kerajaan Pusat tidak mahu menubuhkan majlis perundingan ini, maka PAS akan meneruskan usaha menubuhkannya sepertimana yang diputuskan sebelum Pilihan Raya ke-13. Pakatan Rakyat telah menubuhkan Pro Tem Majlis Pendidikan Negara pada 31 Mac 2013
di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur.
Dato’ Ustaz Abu Bakar bin Chik
Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat
19 November 2013



























