Nik Amar Lawan Mat Sabu

1564

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Amar Nik Abdullah telah mengesahkan beliau akan bertanding jawatan Timbalan Presiden menentang penyandang jawatan berkenaan, Mohamad Sabu.

Saingan berkenaan dijangka menarik dengan kerana ia dilihat sebagai saingan antara Nik Amar yang dikenali merupakan tokoh ulama dalam arena politik di Kelantan sementara Mat Sabu merupakan seorang pejuang isu-isu rakyat dalam PAS.

Nik Amar, ketika dihubungi akhbar The Star selepas tempoh pencalonan ditutup pada pukul 5 petang Jumaat, berkata ramai rakan dalam parti memberinya galakkan agar beliau bertanding.

“Ia satu beban yang berat namun kami mahu mengukuhkan parti dan membantu presiden menghadapi cabaran pada masa hadapan,” katanya.

Mat Sabu juga telah mengesahkan beliau akan mempertahankan jawatan yang disandangnya sebelum ini.

Saingan dua penjuru merebut jawatan nombor dua dalam PAS antara Mat Sabu-Nik Amar kali pertama berlaku sejak 2007.

Pada dua kali pemilihan parti yang lalu menyaksikan saingan tiga penjuru bagi jawatan berkenaan.

Pada 2011, Mat Sabu memperoleh kemenangan dalam saigan tiga penjuru selepas berlaku pecah undi dikalangan golongan pro-ulama antara mereka yang menyokong Tuan Ibrahim dan Nasharudin Mat Isa.

Kedua-dua mereka merupakan tokoh ulama yang dikenali.

Mat Sabu memecah tradisi apabila beliau menjadi tokoh bukan ulama memegang jawatan kedua tertinggi dalam parti.

Muktamar PAS akan berlangsung pada 22 hingga 24 November ini di Shah Alam sementara pemilihan dan muktamar bagi tiga sayap parti itu akan diadakan sehari lebih awal.