Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh menyifatkan dakwaan beliau menggesa supaya parti politik atau persatuan yang berasaskan kaum dan agama termasuk PAS dibatalkan pendaftaran sebagai ‘tuduhan yang keji’.
Dalam satu kenyataannya pada hari ini Jumaat 8 November, Karpal turut menafikan beliau membuat gesaan seumpama itu.
“Benar, saya telah menyatakan parti politik dan persatuan profesional berasaskan kaum perlu membuka pintu kepada bangsa lain, termasuk PAS. Tetapi saya tidak pernah minta agar pendaftaran PAS dibatalkan pada sidang media itu.
“Saya cepat menambah bahawa PAS telah mengakui keperluan kepelbagaian kaum dengan mempunyai satu dewan himpunan penyokong bukan Islam,” katanya
Pada Selasa lalu, Karpal dilaporkan mencadangkan parti politik atau persatuan yang berasaskan kaum dan agama dibatalkan pendaftaran atau diubah suai agar boleh disertai oleh semua rakyat tanpa mengira batasan kaum dan agama.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu didakwa berkata demikian ketika menyelar Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) yang memberi amaran kepada Majlis Peguam supaya tidak menyokong isu penggunaan kalimah Allah dalam edisi bahasa Malaysia majalah katolik The Herald.
Ekoran daripada itu, kenyataan Karpal mendapat reaksi negatif daripada beberapa pemimpin PAS, yang mendakwa Karpal gagal memahami matlamat perjuangan parti itu.
Antaranya, Ketua Penerangan PAS Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man mengeluarkan kenyataan membantah kenyataan karpal tersebut.
Sementara kenyataan dari pemuda PAS menggesa Karpal menarik balik dan memohon maaf secara terbuka berhubung cadangannya itu.
Karpal menjelaskan apa yang diperkatakan oleh beliau dalam sidang media Selasa lalu, sebaliknya memberikan talian hayat kepada PAS.
“Saya tidak membawa PAS ke dalam jerat, sebaliknya saya menentang parti politik dan badan profesional yang ditubuhkan atas semangat perkauman. Saya telah menjelaskan kebenarannya,” katanya.
Oleh itu, beliau menambah permohonan maaf yang didesak oleh pimpinan PAS ‘tidak akan beliau lakukan’.
Bagaimanapun, beliau berkata dia tegas dalam kenyataannya mendesak agar pendaftaran PPMM dibatalkan.
“Presiden PPMM mendesak tindakan selanjutnya terhadap Majlis Peguam. Saya tegas dengan kenyataan yang mendesak agar PPMM dibatalkan pendaftarannya,” katanya.



























