Tidak Tahu Tentang Pembangunan di kawasannya, ADUN Bukit Besi Gagal Berperanan

1340


http://buletinonline.net/http://buletinonline.net/v7/wp-content/uploads/2009/10/roslan.JPGBendahari PAS Kawasan Dungun, Ruslan Ismail berkata, seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) adalah menjadi ‘wakil kepada rakyat’ dan mesti berperanan membangunkan masyarakat di kawasan yang diwakilinya, samada menggunakan sumber yang sedia ada atau membawa masuk sumber luar.


Beliau yang juga bekas ADUN PAS Bukit Besi berkata demikian kepada pihak media ketika mengulas ‘kekecohan’ yang berlaku dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu lalu.

Menurutnya sidang DUN Terengganu ‘tegang’ apabila wakil rakyat Barisan Nasional (BN) khususnya Dato’ Din Adam dilaporkan memberitahu Dewan, beliau tidak ‘tahu menahu’ tentang keputusan Kerajaan Negeri meluluskan tiga syarikat mengendalikan perlombongan bijih besi di Bukit Besi.

Secara peribadi, kata Ruslan, tindakan wakil rakyat Umno itu sepatutnya tidak berlaku jika beliau memainkan peranan secara langsung terhadap perkembangan ekonomi di kawasannya.

“Mungkin beliau (Din Adam) tidak memainkan peranannya dengan baik dan berkesan menyebabkan beliau tidak sedar bahawa di situ terdapat sumber ekonomi yang boleh membangunkan rakyatnya,

”dalam isu ini, kita nampak bahawa dalam hal tertentu, wakil rakyat terbabit mungkin kurang memberi perhatian kepada rakyat, sedangkan dia boleh mencorakkan ekonomi rakyat,”ujar Ruslan.

Katanya, seseorang ADUN sebenarnya mempunyai hak mengemukakan pelbagai isu pembangunan sama ada melalui Jawatankuasa Pembangunan Daerah, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) atau melalui pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Sebaliknya, kata beliau, seseorang ADUN dianggap ‘gagal’ apabila beliau tidak mengetahui tentang sesuatu projek yang akan dilaksanakan dan dalam  dalam hal tersebut, mungkin Din Adam gagal melaksanakan tugasnya dengan cekap.

Oleh itu, katanya, ia menjadi satu kekeliruan kepada seluruh rakyat, bagaimana seorang bekas Exco kerajaan, Din Adam tidak dimaklumkan tentang projek pembangunan semula lombong bijih di Bukit Besi.

”Isu yang mungkin timbul adalah, rakyat akan beranggapan syarikat berkenaan mungkin bukan kroninya, tetapi mempunyai hubungan dengan pihak lain,

” Itulah perkara yang biasanya berlaku dalan UMNO apabila matlamat perjuangan segelintir pemimpinnya adalah untuk kepentingan peribadi,

 

“Justeru, selepas kontrak yang diberikan bukan kepada kroninya, ia akan menimbulkan “perbalahan” sesama sendiri yang akhirnya akan turut merugikan rakyat,”jelas beliau.

”Sebagai pemimpin kita sebenarnya harus menangani isu ekonomi rakyat dengan bijak,” katanya.