Ketua Pemuda Jerai Calon PAS PRK Sungai Limau

1395

Ketua Pemuda PAS Kawasan Jerai, Ustaz Azam Samad diumumkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau.

Selepas perisytiharan tersebut pada kira-kira jam 10 Isnin malam 21 Oktober, Ustaz Azam yang juga bekas guru memberikan ucapan sulungnya.

Beliau berjanji akan memikul amanah sebagai calon PAS dan Pakatan Rakyat dan berazam untuk meneruskan usaha-usaha yang telah dilakukan oleh mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang juga bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak sebelum ini.

IMG-20131021-WA0055Ustaz Azam menyeru agar semua pihak menghadapi pilihan raya kecil kali ini dengan penuh harmoni dan berharap seluruh jentera Pakatan Rakyat khususnya PAS, berganding bahu dan bekerja keras bagi mengekalkan kemenangan.

UstaZ Azam berusia 37 tahun kelulusan Universiti al-Azhar Mesir, akan ditentang oleh calon Umno-BN Ahmad Sohaimi Lazim, 52, bekas Pensyarah kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Pemilihan Ahmad Sohaimi diumumkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi BN di Bilik Gerakan BN bagi PRK DUN Sungai Limau di Sungai Lentang, Sungai Limau, petang semalam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Oktober ini sebagai hari penamaan calon, manakala 4 November depan sebagai hari mengundi.

Kerusi DUN Sungai Limau kosong berikutan kematian bekas menteri besar Kedah Tan Sri Ustaz Azizan Razak kerana komplikasi jantung serta jangkitan kencing manis pada 26 September lalu.

Pada pilihan raya umum ke-13 Mei lalu, Azizan mempertahankan kerusi Dun Sungai Limau yang dimenanginya sejak 1995 untuk PAS, dengan menewaskan sepupu beliau Fazillah Mohd Ali yang mewakili BN dengan majoriti 2,774 undi.