Beratus-ratus pelajar Universiti Kaherah berhimpun di luar pusat pengajian tinggi itu pada hari Selasa, berdemonstrasi menentang kerajaan tentera yang merampas kuasa dan menggulingkan Presiden Mesir pertama yang dipilih secara demokratik, Mohamad Morsi.
Para pelajar terbabit keluar beramai-ramai menyahut seruan Perikatan Anti Rampasan Kuasa yang menyeru seluruh rakyat Mesir bangkit menentang tentera walaupun pertempuran maut antara penunjuk perasaan dengan pasukan keselamatan dua hari sebelumnya.
Media pemerintah ‘Kudeta’ Mesir melaporkan, 57 orang terbunuh pada hari cuti kebangsaan, sempena ulang tahun perang dengan Israel di Sinai pada tahun 1973.
Demonstrasi pada hari Ahad lalu itu adalah salah satu daripada hari paling berdarah di Mesir sejak tentera menggulingkan pemimpin Islam, Morsi, pada 3 Julai.
“Kami di sini berdiri menentang rampasan kuasa ,” kata Enas Madkour , seorang pelajar seni halus 19 tahun ketika berhimpun berhampiran Universiti Kaherah , di mana pasukan keselamatan telah meletakkan dua kereta kebal dan menyekat jalan utama dengan kawat berduri.
“Saya menentang Morsi tetapi saya tidak bagi orang-orang membunuh orang lain dan saya tidak bagi kerajaan tentera yang kita ada sekarang .”ujarnya.
Protes kecil juga berlaku di Universiti Helwan di selatan Kaherah dan di Universiti Zagazig, timur laut Kaherah, pelajar pro- Ikhwan bertempur dengan penduduk dan lawan Ikhwan dengan tangan, kayu dan batu.
Sumber keselamatan berkata, lapan orang cedera dalam pertempuran itu.









