Kempen Menyerang Individu Adalah ‘Parasit’

836

Calon-calon yang bertanding untuk jawatan dalam parti perlu mengesahkan pencalonan mereka pada pukul 5 petang 8 November depan bagi pemilihan kepimpinan baru PAS Pusat sesi 2013 – 2015.

Menurut Pengarah Jawatankuasa Pemilihan PAS, Asmuni Awi, borang-borang boleh didapati dari 188 PAS bahagian, 173 Dewan Pemuda bahagian dan 167 Dewan Muslimat bahagian selain daripada pejabat-pejabat Dewan Ulama negeri di seluruh negara.

Asmuni berkata, calon-calon dari sayap yang berhasrat untuk bertanding perlu mengemukakan borang pencalonan mereka sebelum tengah malam pada 20 Oktober, dan mereka yang mahu bertanding untuk kerusi jawatankuasa pusat pula menjelang tengah malam pada 31 Oktober.

Beliau berkata, calon-calon boleh mempromosikan diri mereka sendiri tetapi tidak boleh menyerang pihak lawan mereka.

“Kami melarang sebarang kenyataan, video, karikatur ataupun menggunakan pelbagai medium dan alat lain untuk memperkecilkan atau fitnah calon-calon lain.

“Mereka yang membuat serangan peribadi akan berhadapan dengan tindakan disiplin,” katanya.

Asmuni berkata demikian dalam sidang media pada Selasa 1 Oktober di Pejabat Agung PAS Pusat, ketika mengulas mengenai peraturan-peraturan dalam berkempen menjelang pemilihan parti pusat pada 22 November depan, sehari sebelum pemilihan Dewan Pemuda, Muslimat dan Ulama PAS.

Beliau berkata, lampu hijau untuk berkempen itu tidak boleh disalahgunakan untuk memburuk-burukkan calon-calon lain.

“Kami tidak bertolak ansur dengan budaya negatif seperti itu,” katanya.

Pihak-pihak tertentu yang memulakan kempen mereka melalui media sosial, termasuk Facebook, telah menyerang beberapa individu yang dilihat sebagai “parasit” dalam PAS.