PAS menggesa supaya sambutan hari ‘patriotik’ hari penubuhan Malaysia sewajar diberi tumpuan kepada ‘cara hidup Malaysia dengan mempromosi kebudayaan tempatan dan bukannya berbangga dengan hiburan asing yang melalaikan rakyat.
Malangnya, penganjurnya Majlis Bandaraya Miri (MBM) lebih gemar mengadakan majlis sambutan ‘parti jalanan’ (street party), berpesta dijalan raya, yang menghilangkan halatuju sambutan hari penubuhan negara Malaysia itu serta mengalakkan gelaja sosial berlaku dikalangan remaja yang ‘lepak’ sehingga dinihari.
Timbalan Pesuruhjaya III PAS Sarawak, Haji Jofri Jaraiee berkata, sebagaimana tahun lalu, Hari Malaysia tahun ini ‘kononnya’ akan disambut ‘lebih besar dan meriah’ dengan adanya pesta hiburan yang dianjurkan oleh MBM dengan usahasama Shin Yang Group dan Kelab Selebriti.
“parti jalanan akan diadakan di hadapan Imperial Palace Hotel pada 15 Sept dari pukul 6 petang sehingga 2 pagi. Acara lapan jam itu akan dihoskan oleh Jin dan Ryan dari hitz.fm menampilkan Mizz Nina, Madu DJ G dan Mocha Girls.
“sambutan (itu) khususnya Miri amat tidak sesuaian dengan adat resam dan budaya tempatan. Para penganjur lebih memberi tumpuan kepada ‘Street Party’ hiburan yang melalaikan serta mengalakkan gelaja sosial berlaku dikalangan remaja yang berlepak sehingga larut malam.
“Sepatutnya pihak yang berkenaan lebih memberi tumpuan dengan mempromosi kebudayaan tempatan bukannya bangga dengan hiburan asing yang melalaikan rakyat tempatan,”katanya dalam satu kenyataan yang diedarkan media hari ini, Jumaat 13 September.
Menurutnya, penganjuran ‘pesta liar’ itu menjelaskan hakikatnya negara kita belum merdeka sepenuhnya kerana sistem kehidupan dipengaruhi oleh ‘budaya dan tingkah laku’ asing, apatah lagi dan perundangan negara kita masih mengamalkan dan dipengaruhi oleh sistem koloni British.
Oleh itu beliau meminta pihak-pihak berkuasa yang bertanggungjawab seperti Jakim dan Jais memberikan perhatian kerana ia akan memberikan kesan kepada orang Islam dan para remaja muslim.
“hakikatnya negara kita belum merdeka sepenuhnya kerana sistem perundangan negara kita masih mengamalkan dan dipengaruhi oleh sistem koloni British. Sepatutnya Malaysia bebas mengamalkan undang-undang sendiri tanpa perlu terikat dengan sistem penjajahan British.
“Masalah sosial yang banyak melibatkan remaja-remaja Muslim semasa perayaan perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa seperti Jakim, Jais dan sebagainya.
“Mereka harus dinasihatkan supaya tidak melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang boleh merosakkan iman dan akhlak terutama remaja Muslim yang mudah terpengaruh dengan budaya asing sebagai cara hidup,”jelasnya.
Bagi yang bukan Muslim, menurutnya Haji Jofri, ia terserah dengan budi bicara mereka sendiri untuk menasihat penganut agama mereka masing-masing.
Namun katanya, PAS sebagai ‘adik beradik’ satu negara harus diambil kira dan mereka mestilah sensitif dengan apa yang ‘boleh dan tidak boleh’ dalam Islam kerana samada apa jua agama, kita semua rakyat negara Malaysia.
“Sekiranya agama mereka tidak melarang penganut mereka melibat diri dengan program hiburan yang melampau, itu adalah hak mereka tetapi (mereka perlu tahu) yang (dengan) jelas (bahawa) Islam melarang keras penganutnya terlibat dengan sebarang hiburan yang melampau dan berbentuk maksiat,”tegasnya.
Oleh itu, beliau berkata, PAS sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk pihak Jakim, Jais dan pihak keselamatan untuk membenteras kegiatan tidak bermoral dikalangan umat Muslim dan rakyat negara ini terutama golongan remaja.
Katanya, mereka yang terlibat dengan kegiatan yang tidak bermoral ini boleh merosakkan masa depan negara, agama dan bangsa negara dan tidak mustahil negara ini ‘terjajah’ semula sekiranya golongan remaja tidak menghargai kemerdekaan yang dikecapi masakini.
Justeru, PAS menyeru agar umat Muslim agar tidak melibatkan diri dengan sebarang kegiatan atau program hiburan yang melampau dan melalaikan seperti ‘Street Party’.
“Kembalilah kepada ajaran Islam sebenar agar kita dapat mencapai kemerdekaan yang sebenarnya menurut ajaran Islam,”kata Haji Jofri










