Mana mungkin ekonomi pulih bila rakyat tiada kuasa beli?

1215

Rakyat kesal dengan kenaikan harga petrol dan diesel sebanyak 20 sen dan kenaikan RON 97 sebanyak 15 sen yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan Umno-BN.

Pengumuman kenaikan harga minyak tersebut merupakan suatu tamparan hebat buat rakyat Malaysia yang sememangnya saban hari dihimpit dengan masalah kos kehidupan.

Kenaikan harga minyak ini merupakan hadiah yang istimewa kerajaan UMNO/BN sempena bulan kemerdekaan dan Aidilfitri. Lebih manis lagi kenaikan harga minyak dan diesel ini merupakan penghargaan buat rakyat Malaysia yang masih lagi mengekalkan pemerintahan UMNO/BN dalam PRU 13 baru-baru ini.

Tidak mustahil selepas ini, beberapa lagi hadiah istimewa buat rakyat Malaysia oleh kerajaan UMNO/BN berbentuk kenaikan harga elektrik dan tol.

Mungkin pemimpin-pemimpin UMNO/BN memandang remeh dengan kenaikan 20 sen ini. Akan tetapi, bagi rakyat Malaysia yang hidupnya kian terhimpit dengan pelbagai bebanan, kenaikan sebanyak 20 sen ini adalah suatu bencana. Kesan kenaikan ini bukan sahaja dirasai oleh mereka yang menggunakan kenderaan sebagai pengangkutan utama. Beberapa kesan seperti harga barang, perkhidmatan dan sebagainya turut terpalit sama.

Akibatnya, leher rakyat semakin dijerut ketat dek penangan kezaliman kerajaan UMNO/BN.

Walaupun Malaysia dianugerahkan Allah SWT sumber yang kaya dengan petroleum dan gas, namun hasil kekayaan tersebut tidak sampai ke tangan rakyat. Alasan bahawa harga minyak dan diesel dunia semakin meningkat merupakan alasan yang sudah basi. Rakyat telah lali dengan alasan tersebut. Bahkan, alasan Najib kononnya sebagai suatu proses pengukuhan ekonomi adalah alasan yang mengarut yang tidak memandang kesusahan rakyat sendiri.

Cukup-cukuplah dalam memberi pelbagai alasan demi menghalalkan kenaikan tersebut. Rakyat sudah muak dan jelik dengan alasan yang tidak bertanggungjawab oleh para pemimpin UMNO/BN.

Sememangnya UMNO/BN tidak ikhlas dalam membantu kehidupan rakyat. BR1M yang diberi 2 kali pada masa sebelum PRU 13 lalu kini diambil semula secara berhari-hari dari poket rakyat. Untuk menjadikannya lebih sadis lagi, beberapa kenaikan lagi sedang menunggu untuk diumumkan pada masa terdekat. Poket rakyat kian rabak, poket pemimpin UMNO/BN kian gemuk berisi. Inilah konsep ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’. Rakyatlah yang dahulu menderita.

Jelinglah sedikit keperitan hidup rakyat di bawah ini sekiranya tidak mahu memandang. Pemimpin UMNO/BN yang kaya raya sudah pastilah tidak merasai kesan kenaikan harga minyak tersebut. Jangan kerana inginkan keuntungan yang berlipat kali ganda, rakyat disembelih.

Mana mungkin ekonomi negara akan pulih sekiranya kuasa membeli yang terletak di tangan rakyat sudah tiada! – Nurul Islam Mohamed Yusof