KUALA LUMPUR – Selepas tamat tempoh 100 hari kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) sejak berlangsungnya pilihanraya umum kali ke-13 (PRU13) Mei lalu, pentadbiran Putrajaya gagal menjelaskan, apatah lagi melaksanakan agenda keharmonian nasional.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar turut mendakwa, Umno-BN juga gagal meringankan beban rakyat, berikutan peningkatan kos sara hidup dan jenayah berat, tembak dan bunuh yang semakin berleluasa.
Beliau menegaskan, pemimpin Umno-BN telah mengenepikan tanggungjawab kepada rakyat sebaliknya hanya memikirkan cara untuk mengukuhkan kedudukan masing-masing dalam parti Umno melalui pemilihan Majlis Tertinggi (MT) parti itu pada September depan.
“Mereka nak fikir kedudukan mereka sahaja dalam pemilihan Umno nanti, sehingga tak dapat kenal pasti masalah rakyat,” katanya pada sidang media, di ibu pejabat PAS, di sini, hari ini Isnin 19 Ogos.










