Sementara kuota jemaah Arab Saudi sendiri dikurangkan sebanyak 50 peratus kerana kerja-kerja pembangunan di kawasan Masjidil Haram.
Pada masa sama, pihak berkuasa Arab Saudi juga sedang memantau penularan Sindrom pernafasan Timur Tengah (Mers) dengan 62 orang disahkan dijangkiti virus berkenaan di negara itu.
Daripada jumlah tersebut, 34 orang meninggal dunia sejauh ini.
Pihak berkuasa Arab Saudi, bagaimanapun, tidak mengaitkan wabak itu dengan pengurangan kuota jemaah haji tahun ini.
Tahun lalu, lebih tiga juta jemaah ke Makkah bagi menunaikan ibadah haji.
Dalam satu kenyataan yang dilaporkan oleh agensi berita Saudi Press Agency (SPA) kelmarin, Majlis Kehakiman Agung berkata pengurangan jumlah jemaah tahun ini adalah bagi memastikan keselamatan para jemaah, sedang kerja-kerja dijalankan bagi meluaskan kawasan tawaf.
Kenyataan serupa dikeluarkan oleh pemimpin agama di Masjid Nabawi dan di Masjidil Haram.
Pada Sabtu lalu, pakar kesihatan antarabangsa yang mengadakan pertemuan di pejabat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Kahirah berkata negara-negara yang menghadapi risiko penularan virus Mers harus memperkenalkan pelan bagi mengendalikan perhimpunan orang awam yang ramai.
Musim haji tahun ini dijadualkan pada Oktober tetapi ramai jemaah dijangka menunaikan umrah sepanjang Ramadan pada bulan depan.
Sehubungan dengan itu, Kementerian Ehwal Luar Arab Saudi mengumumkan 8 Julai ini sebagai tarikh terakhir bagi membuat permohonan visa umrah.
Menurut perangkaan Kementerian Haji, Arab Saudi telah pun mengeluarkan empat juta visa umrah tahun ini.
“Ini merupakan prosedur biasa yang diamalkan Arab Saudi setiap tahun. Setiap tahun kami telah dimaklumkan tidak menerima permohonan visa umrah apabila tiba bulan Ramadan,” kata seorang pegawai pelancongan di Riyadh, Arif Kannauji.
Menurut Kannauji, langkah tersebut diambil bagi memastikan mereka yang ingin menunaikan umrah pada bulan Ramadan sempat menerima visa masing-masing, lapor Arab News semalam.









