Pada zahirnya, mereka ini seolah-olah mahu akan demokrasi tetapi batinnya tidak demikian.
Sekalipun pilihan Raya Umum (PRU) diadakan hampir setiap 5 tahun, namun pada masa yang sama mereka ini, sang “politikus” ini, akan melakukan apa sahaja cara di luar kerukunan demokrasi itu sendiri seperti menjadikan media sebagai alat propaganda politik berat sebelah, menyalah-gunakan konsep menanam budi di musim pilihan raya, sehingga boleh ditafsir sebagai usaha merasuah secara halus, dan menggerrimander (melakukan persempadanan pengundian secara tidak adil) dan menyunglap atau bermain silap mata dengan kaedah PRU bagi memastikan kemenangannya.
Dalam keadaan apapun, mereka yang berjaya mengalahkannya atau menyebabkan kurang undi kemenangannya akan dicap dengan label-label buruk, didenda atau dicerca dengan pelbagai kaedah, secara langsung atau tidak langsung. Justeru, negeri yang diperintah oleh parti lawannya akan didera dengan pelbagai caranya, dan mereka yang dikenal pasti telah tidak memilihnya di mana jua pun akan diberi layanan yang tidak sama dengan mereka yang diketahui telah menyokongnya.
Nampaknya, budaya dendam kesumat ini sudah semakin berkuku dalam sistem politik tanah air.
Hal keadaan sebegini kelihatan sangat menjolok sekali berlaku dengan jeleknya dan kejinya selepas PRU13 kerana sokongan yang diraih oleh parti yang selama ini begitu angkuh jelas begitu merosot pencapaiannya sehingga tinggal hanya sekitar 47% sahaja rakyat yang menyokong parti pemerintah Pusat, Barisan Nasional (BN); bahkan ada pula negeri yang diperintah oleh parti sang kuasawan itu memperoleh undi hanya sekitar 44% sahaja. Jelaslah sang kuasawan itu langsung tidak boleh mengakui atau tidak mahu menerima hakikat bahawa rakyat sudah tidak mahu lagi diperintah oleh parti yang hilang kredibiliti walaupun telah memerintah sejak 50-an tahun dahulu. Pemimpin-pemimpin parti yang kehilangan integriti ini tidak boleh dan tidak mahu menerima kuasa rakyat dalam sesebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Oleh kerana itulah hasil pilihan raya PRU13 telah ditafsirkannya sebagai mengikut kehendak gelagat hawa nafsu cauvinis sempit Melayu yang mudah melemparkan tohmah dengan menghina, memperbodoh, dan mempersalahkan kalangan rakyat yang selama ini dianggapnya wajib menyokongnya walaupun atas sebab-sebab yang juga menjurus kepada perkauman.
Dengan melihat apa yang telah dan sedang berlaku di tanah air, GATERA berasa terpanggil untuk menyedarkan para pemimpin besar atau kecil itu agar menginsafi persoalan “Apakah rasionalnya kita menghabiskan tenaga secara besar-besaran dan wang beratus juta ringgit untuk mengadakan pilihan raya jikalau para “politikus” yang berkuasa itu terus-menerus berpendirian tidak mahu atau tidak redha bila-bila masa pun untuk rakyat memilih calon pemimpin yang lebih bersih, lebih berintegriti dan yang peka terhadap keperluan rakyat dan kepentingan negara melalui saluran demokrasi yang ada menerusi pilihan raya yang bebas?”
GATERA dengan ini ingin mengajak rakyat semua kaum di Malaysia ini supaya bertindak waras dengan tidak mengikuti atau terperangkap dalam gejolak serakah para pemimpin politik, institusi, atau BBK yang telah berseronok-seronok dalam syurga-loka nafsu kekuasaannya selama ini. Kini, mereka yang setelah diuji oleh badai kebangkitan kesedaran rakyat, wajiblah insaf bahawa demi kepentingan negara dan bangsa Malaysia, mereka haruslah berubah untuk memperbaiki diri agar keunggulan akhlak yang bersih, kesungguhan mengamalkan keadilan dan sifat amanah, adalah tanggungjawab yang utama kepada rakyat, dan bahawa kuasa yang dipegang itu adalah dari rakyat dan untuk rakyat.
GATERA berasa lebih-lebih terpanggil lagi untuk menyatakan kerusuhan hati terhadap mereka yang mencipta pelbagai ungkapan perkauman yang akan memperburuk lagi suasana hubungan kaum dalam masyarakat majmuk seperti di Malaysia yang memerlukan pemupukan dan galakan pada setiap masa demi mewujudkan kesejahteraan rakyat dan negara Malaysia.
Dr. Shaharir bin Mohamad Zain
Ketua GATERA
****Catatan
Gerakan Intelektual Rakyat (Gatera) menggerakkan kempen bagi menyedarkan orang ramai tentang kepentingan memilih wakil rakyat berkualiti pada PRU13 lalu
Gatera ditubuhkan pada 17 April lalu oleh sekumpulan ilmuan, sarjana, ulama, sasterawan, budayawan dan aktivis sosial termasuk Sasterawan Negara Datuk A Samad Said.
Gatera dianggotai oleh 40 orang ahli iaitu:
Dr Shaharir Mohamad Zain (Ketua)
Datuk A.Samad Said (Sasterwan Negara dan Pengerusi Bersama Bersih 2.0)
Prof. Emeritus Shahnon Ahmad (Sasterawan Negara)
Prof. Emeritus Abdullah Hassan (ilmuan dan budayawan)
Prof. Emeritus Ahmat Adam (sarjana sejarah)
Prof. Barjoyai Bardai (sarjana sejarah)
Prof. Ismail Mohd (sarjana matematik)
Prof. Md Nor Othman (sarjana pemasaran)
Prof. Mohamed Aslam Mohamed Haneef (sarjana ekonomi Islam)
Prof. Mohd Nazari Ismail (sarjana pentadbiran perniagaan antarabangsa)
Prof. Mokhtar Abdullah (sarjana statistik)
Prof. Wan Manan (Pengerusi Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak)
Prof. Wan Ramli Wan Daud
Dr. Abdul Halim Muhammad (sarjana syariah dan undang-undang)
Dr. Aida Idris (sarjana keusahawanan dan sosioekonomi)
Dr. Ghazali Basri (sarjana perbandingan agama)
Dr. Maszlee Malik (sarjana sains politik)
Dr. Mat Rofa Ismail (sarjana matematik Islam)
Dr. Mohammad Alinor Abdul Kadir (sarjana matematik)
Dr. Noriah Mohamed (sarjana kesusateraan Melayu)
Dr. Nurdeng Durasheh (sarjana ketamadunan)
Dr. Paridul Adras Ismail (sarjana pendidikan)
Dr. Pisol Maidin (sarjana etnosains kejuruteraan)
Dr. Tajul Ariffin Noordin (sarjana pendidikan sains)
Dr. Zaid Ahmad (sarjana ketamadunan)
Dr. Zulkifli Hassan (sarjana undang-undang)
Mohd Tarmizi Hasrah (sarjana linguistik Melayu)
Othman Soh (sejarawan)
Dinsman (sasterawan)
Mohd Azmi Abdul Hamid (Presiden Teras)
Syed Ibrahim Syed Noh (Pengerusi GMI)
Ainon Muhammad (usahawan)
Nur Hanim Kamaruddin (seniman)
Hasni Abas (Setiausaha GMP)
Kasim Muhammad (Setiausaha Paksi)
Muhammad Faisal Abdul Aziz (Penolong Setiausaha Abim)
Kamaruzaman Mohamad (Setiausaha)




























