Beliau berkata, lima puluh peratus kerusi itu meliputi kawasan majoriti Felda di Johor, Pahang, dan Terengganu.
“PAS yakin boleh menang sekurang-kurangnya 16 kerusi daripada jumlah kerusi yang ditandingi, antara kerusi Parlimen yang dijangka boleh menang adalah di Jerantut, Kuala Krau, dan Kulai, selain mempertahankan kemenangan tiga kerusi di Baling, Padang Terap dan Sik,”ujarnya kepada sebuah akhbar atas talian, FMT.
Beliau berkata sasaran tersebut adalah berdasarkan sokongan yang meningkat sebanyak 45 peratus dikalangan orang muda generasi kedua dan ketiga Felda.
“Kami hanya perlukan lima hingga enam peratus lagi skongan untuk mencapai kemenangan. Bagi pihak PAS kalau campur dengan kerusi PKR kemungkinan boleh capai kemenangan maksimum 20 kerusi,” katanya.
Felda mempunyai 317 kawasan penempatan peneroka; memiliki satu perempat daripada 222 jumlah keseluruhan kerusi Parlimen, serta 96 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).
Felda Plantation memiliki tanah seluas 341,000 hektar, majoriti di Sabah dengan keluasan 100,000 hektar.
Pakatan Rakyat semasa PRU12 berjaya menembusi kubu kuat Barisan Nasional (BN) di kawasan majoriti Melayu itu dengan memenangi lima kerusi iaitu Parlimen Tanah Merah (PKR), Sik (PAS), Baling (PAS), Padang Terap (PAS), serta Kulim-Bandar Baharu (PKR).
Menyentuh soal calon, Mazlan berkata beberapa pemimpin Anak dipilih bertanding, antaranya Nasaie Ismail, Yohanis Ahmad, serta Presiden Kelab Kebajikan Veteran dan Pesara Tentera (Kerabat)Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar.









