MARANG – Seluruh rakyat negeri ini dijemput hadir bagi memeriahkan Majlis Intifal sempena lima dekad Kuliah Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di Masjid Rusila.
Majlis yang akan berlangsung selama dua hari iaitu pada 26 dan 27 November sarat dengan pelbagai pengisian ilmu, dakwah dan kerohanian.
Pengerusi Masjid Rusila, Mohd Azri Aziz berkata, pihaknya sangat mengalu-alukan kehadiran seluruh masyarakat di negeri ini untuk sama-sama hadir ke program yang penuh bersejarah.
“Program akan bermula pada malam Jumaat dengan forum yang akan menampilkan Murabbi Sejuta Ummah, Ustaz Azhar Idrus dan Pendakwah Selebriti, Ustaz Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang.
“Pada jam 4 pagi, kita akan mengadakan Qiamulail secara berjemaah untuk sama-sama mengambil kesempatan berada di masjid bagi bermunajat kepada Allah SWT.
“Pada pagi Jumaat juga, kita akan mengadakan Kuliah Subuh Khas yang akan disampaikan oleh Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad,” ujarnya yang juga Timbalan Pengarah Program, menerusi satu kenyataan, di sini, pada hari ini.

Menurutnya kemuncak sambutan dijadualkan berlangsung dengan Kuliah Dhuha Tuan Guru Presiden PAS yang menjadi acara utama memperingati tradisi pengajian ilmu selama 50 tahun.
“Istimewanya, program akan turut diisi oleh Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud, selain adanya pelbagai aktiviti khusus buat pengunjung,” jelas beliau.
Dalam pada itu, menurut beliau bagi memberikan peluang kepada masyarakat mengenali lebih dekat sejarah dan sumbangan institusi pendidikan serta dakwah di Rusila, pihak penganjur turut mengadakan pameran khas sepanjang program.
Antaranya, Azri menyatakan akan adanya Pameran Sejarah Masjid Rusila, Maahad Darul Quran serta Yayasan Permata Ummah yang selama ini telah menerbitkan buku-buku karya Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang termasuk menerbitkan Kitab Tafsir Al-Tibyan.
Justeru, beliau mengharapkan agar sambutan itu menjadi medan yang bermanfaat kepada seluruh masyarakat dan konsisten menghayati tradisi ilmu.
“Saya mengak seluruh muslimin dan muslimat dari dalam dan luat Terengganu supaya meluangkan masa untuk hadir ke Masjid Rusila pada 26 dan 27 November ini bagi sama-sama menjayakan sambutan penuh bersejarah itu,” ujar beliau.











