Wala’ (ولاء) bermaksud kepimpinan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada sesuatu pihak. Adapun bara’ (براء) bermaksud kebencian, berlepas diri, dan menolak sesuatu pihak yang merosakkan.
Berwala’ kepada bukan Islam bermakna memberikan wilayah (kepimpinan dan kepercayaan yang berdaulat) kepada kekufuran dan menumpahkan kesetiaan kepadanya. Adapun bara’ ialah benci terhadap kekufuran, menolak dan berseteru dengannya serta segala amalannya. Rasuah pula ialah menyogok kesenangan kepada pihak yang berkuasa bagi mendapatkan keuntungan diri.
Kesalahan wala’ dan bara’ kepada kekufuran berkait dengan aqidah Islamiah serta keselamatan umat dan tanah airnya. Allah menetapkan secara nas al-Quran sempadan hubungan dengan bukan Islam. Firman Allah SWT:
لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ ٩
“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. [8] Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu serta membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan sesiapa yang menjadikan mereka sebagai wali (kawan yang diberikan kesetiaan), maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)” [Surah al-Mumtahanah: 8–9]
Dalam konteks masyarakat majmuk, para ulama’ mengharuskan penyertaan bukan Islam dalam kabinet kerajaan untuk melaksanakan urusan kehidupan yang tiada kaitan dengan perkara dasar, dinamakan sebagai wazarah al-tanfiz. Adapun yang berkaitan dengan perkara dasar, diwajibkan syarat Islam yang dinamakan sebagai wazarah al-tafwid. [Rujuk al-Ahkam al-Sultaniyyah karangan al-Mawardi dan al-Muqaddimah karangan Ibn Khaldun]
Wala’ dan bara’ berkait dengan dasar serta rukun aqidah, syariat, akhlak, dan urusan umat yang menyeluruh dan luas lapangannya yang melahirkan berbagai-bagai jenis maksiat, jenayah, dan dosa sehinggalah kedaulatan negara, melibatkan politik, ekonomi, pendidikan, dan kemasyarakatan sehingga boleh menjatuhkan umat dan negara serta mencetuskan peperangan yang besar.
Kehilangan Khilafah ‘Uthmaniyyah pada abad yang lalu, apabila kalangan pemimpin negara Islam berwalikan penjajah bagi mendapat hadiah kuasa yang dijanjikan. Akhirnya kuasa Islam ditumbangkan, diikuti Palestin dan Masjid al-Aqsa yang dirampas sehingga hari ini.
Usaha untuk membebaskannya mesti dimulakan dengan menghadapi mereka yang masih berwala’ kepada kuasa besar penjajah bersama harta dan takhtanya.
Adapun kesalahan rasuah berkait dengan dosa besar juga kesalahan akhlak, politik, ekonomi, dan lain-lain yang terbatas tanpa merosakkan aqidah, malah rasuah termasuk dalam senarai dosa dan jenayah takzir, bukan qisas dan hudud. Kesannya terbatas dalam aspek yang tidak meluas sehingga menghilangkan kedaulatan agama, negara, dan umat.
Firman Allah SWT:
وَلَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ وَتُدۡلُواْ بِهَآ إِلَى ٱلۡحُكَّامِ لِتَأۡكُلُواْ فَرِيقٗا مِّنۡ أَمۡوَٰلِ ٱلنَّاسِ بِٱلۡإِثۡمِ وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ ١٨٨
“Dan janganlah sebahagian daripada kamu memakan harta sebahagian yang lain antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui.” [Surah al-Baqarah: 188]
Rasuah juga termasuk dalam dosa besar yang melibatkan politik, ekonomi, dan pentadbiran, tetapi tidak melibatkan aqidah.
Sementara itu, berwala’ (berwali) kepada musuh Islam boleh membatalkan aqidah serta membahayakan agama dan umat seluruhnya. Firman Allah SWT:
لَّا يَتَّخِذِ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلۡكَٰفِرِينَ أَوۡلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۖ وَمَن يَفۡعَلۡ ذَٰلِكَ فَلَيۡسَ مِنَ ٱللَّهِ فِي شَيۡءٍ إِلَّآ أَن تَتَّقُواْ مِنۡهُمۡ تُقَىٰةٗۗ وَيُحَذِّرُكُمُ ٱللَّهُ نَفۡسَهُۥۗ وَإِلَى ٱللَّهِ ٱلۡمَصِيرُ ٢٨
“Janganlah orang-orang Mukmin mengambil orang-orang bukan Islam menjadi wali (pemimpin atau rakan yang diberikan kepercayaan) dengan meninggalkan orang-orang Mukmin. Dan sesiapa yang berbuat demikian, nescaya terlepaslah dia daripada pertolongan Allah, kecuali kerana taqiyyah (siasah memelihara diri) daripada sesuatu yang ditakuti daripada mereka. Dan Allah memperingatkan kamu terhadap Diri-Nya (seksa-Nya). Dan hanya kepada Allah jua tempat kamu kembali.” [Surah Ali ‘Imran: 28]
Diberikan rukhsah (kemudahan) boleh bertaqiyyah kerana darurat dalam keadaan lemah seperti pada zaman penjajahan dalam keadaan hati tidak reda, di samping berjuang serta melawan sekadar kemampuan dan terus membina kekuatan sehingga merdeka.
Adapun dosa besar rasuah tidak membatalkan aqidah. Seseorang itu hanya menjadi fasiq dan zalim dalam keadaan imannya tidak batal.
Sekarang kita sudah merdeka dan hubungan dengan bukan Islam dalam masyarakat majmuk wajib mengikut sempadan ketetapan Allah dalam ayat yang disebut di atas. Maka, hubungan PAS dengan pihak bukan Islam berpandukan hukum Allah yang nyata nasnya.
Hubungan PAS dengan bukan Islam ialah berdasarkan titik persamaan hubungan kemanusiaan mengikut Islam yang adil serta damai yang berkuasa dan berdaulat. Apabila melampaui sempadan dasar dan rukun, maka wajib diputuskan kerana kaitannya dengan wala’ dan bara’.
Bilamana berlaku hubungan PAS dengan bukan Islam, PAS tidak memaksa mereka menganut Islam. Akan tetapi, apabila mereka melanggar sempadan dengan menunjukkan penentangan terhadap negara Islam dan kedaulatannya secara nyata serta menunjukkan perjalanan bagi menguasai politik negara, di sini menunjukkan penentangan terhadap hak beragama dan memimpin negara bagi umat Islam dengan terbuka melalui kenyataan para pemimpin mereka dan mempengaruhi orang Melayu Islam yang jahil yang dijadikan topeng untuk menguasai politik negara.
Maka, PAS dengan tegas memutuskan hubungan dengan mereka, walau bertujuan untuk kemenangan yang segera kerana kenyataan Allah SWT:
بَشِّرِ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ بِأَنَّ لَهُمۡ عَذَابًا أَلِيمًا ١٣٨ ٱلَّذِينَ يَتَّخِذُونَ ٱلۡكَٰفِرِينَ أَوۡلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۚ أَيَبۡتَغُونَ عِندَهُمُ ٱلۡعِزَّةَ فَإِنَّ ٱلۡعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعٗا ١٣٩
“Khabarkanlah kepada orang-orang munafiq bahawa mereka akan mendapat seksaan yang pedih. [138] (Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman-teman penolong dengan meninggalkan orang-orang Mukmin. Adakah mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu? Maka, sesungguhnya semua kekuatan kepunyaan Allah. (139)” [Surah al-Nisa’: 138–139]
Hubungan dengan bukan Islam dalam aspek kemanusiaan ialah bersama sempadan Allah dengan mengikut batas-batas iman dan kufur serta halal dan haram yang menentukan perjalanan fitrah manusia yang memelihara maqasid syariah, dengan memelihara agama, nyawa, akal, maruah, keturunan, dan harta. Apabila boleh menyebabkan pelanggaran terhadap sempadan Allah dan fitrah yang menjadi maqasid syariah, maka hendaklah diberhentikan.
Islam mewajibkan berlaku adil walaupun dalam mempertahankan musuh Islam yang menjadi mangsa kezaliman kerana firman Allah SWT:
وَإِنۡ أَحَدٞ مِّنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ ٱسۡتَجَارَكَ فَأَجِرۡهُ حَتَّىٰ يَسۡمَعَ كَلَٰمَ ٱللَّهِ ثُمَّ أَبۡلِغۡهُ مَأۡمَنَهُۥۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ قَوۡمٞ لَّا يَعۡلَمُونَ ٦
“Dan jika seorang antara orang Musyrikin itu meminta perlindungan kepadamu, maka lindungilah dia supaya dia sempat mendengar firman Allah, kemudian hantarkanlah dia ke tempat yang aman baginya. Demikian itu disebabkan mereka kaum yang tidak mengetahui.” [Surah al-Tawbah: 6]
Maka, bangsa Melayu Islam menerima pelbagai kaum bukan Islam yang dibawa penjajah ke negara ini dengan memberikan hak kemanusiaan, namun pelbagai bangsa dan agama dalam keadaan Melayu Islam wajib memimpin negara Malaysia.
PAS tetap beristiqamah atas prinsip Islamnya walaupun kehilangan kerusi dan penyokong, termasuk ahli yang memilih jalan mudah dengan berbagai-bagai helah dan jenama yang bertopengkan Islam, yang terpesong daripada prinsip serta melawan nas yang nyata daripada al-Quran dan Sunnah Nabawiah.
Ayat yang disebut di atas tadi melarang berwalikan bukan Islam, walaupun kerana mudah menang. Rasulullah SAW pernah mengadakan hubungan dengan bukan Islam di Madinah dan bertindak memutuskan hubungan apabila mereka melanggar syarat yang menyentuh prinsip perjuangan yang merosakkan tujuan hubungan dan kerjasama yang baik, bersama penyelesaian Islam yang menyatukan rakyat berkonsepkan keadilan Islam kepada seluruh manusia.
Islam berjaya memerintah negara kuasa besar masyarakat majmuk dengan penyertaan bukan Islam selama beberapa abad. Negara yang paling luas wilayahnya dan paling majmuk masyarakatnya berjaya membina hadarah Islamiah (tamadun Islam) yang disaksikan kesannya pada tamadun terkini hasil hubungan dengan semua pihak, termasuk bukan Islam tanpa melanggar prinsip aqidah, syariat, dan akhlak Islam.
Tamadun daripada berbagai-bagai bangsa dalam masyarakat majmuk diambil oleh pemerintah Islam daripada ilmuwan bukan Islam tanpa memaksa mereka memeluk Islam, manakala penganut Islam beristiqamah dengan Islam dan mengaitkan ilmu urusan dunia yang bermanfaat dengan aspek ajaran Islam daripada Allah berkonsepkan firman Allah SWT:
ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِي خَلَقَ ١ خَلَقَ ٱلۡإِنسَٰنَ مِنۡ عَلَقٍ ٢ ٱقۡرَأۡ وَرَبُّكَ ٱلۡأَكۡرَمُ ٣ ٱلَّذِي عَلَّمَ بِٱلۡقَلَمِ ٤ عَلَّمَ ٱلۡإِنسَٰنَ مَا لَمۡ يَعۡلَمۡ ٥
“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. (1) Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. (2) Bacalah, dan Tuhan kamulah Yang Maha Pemurah. (3) Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. (4) Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya. (5)” [Surah al-‘Alaq: 1–5]
Membaca dan menulis menjadi alat untuk mendapat ilmu dalam semua urusan kehidupan manusia yang tidak putus dengan Allah Yang Maha Esa.
Adapun tanda-tanda keruntuhan tamadun Barat terkini kerana mereka meninggalkan kesempurnaan tamadun Islam dengan menyadur konsep sekularisme yang meninggalkan aspek agama yang ada dalam tamadun Islam, kerana menolak Islam dan mengekalkan pegangan agamanya yang tidak sempurna atau mencipta ideologi yang meninggalkan agama.
Berwali kepada penjajah bukan Islam menyebabkan agama tidak diutamakan kerana menjaga kepentingan duniawi yang sementara dan melupakan wawasan akhirat yang kekal abadi. Tanpa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, lebih mudah menjadi mangsa rasuah, malah undang-undang pencegahan rasuah tanpa agama juga gagal, bahkan mereka yang melakukan wala’ menjadi syaitan bisu meninggalkan amar ma‘ruf dan nahi mungkar.
Sepatutnya kejayaan PAS di beberapa negeri yang berada di bawah kuasanya menjadi pengajaran, walaupun dalam lingkungan federalisme yang tidak memberikan kuasa berdaulat dengan sempurna berserta salah laku demokrasi dan perlembagaan terhadap kerajaan negeri. Di sini menunjukkan beberapa tasawur yang positif kepada kejayaan Islam, namun ditolak kerana kedengkian kepada kejayaan Islam yang sengaja dimusuhi sejak dahulu kerana keadilannya yang mencabar kegagalan agama dan ideologi yang lain.
Namun begitu, terdapat dalam kalangan umat Islam sendiri yang jahil agamanya atau kerana mengejar kemenangan yang cepat sehingga berwala’ kepada musuh Islam dengan alasan yang bertopengkan Islam seperti Islam progresif, Islam liberal, Islam sekular, dan sebagainya. Mereka menolak Islam yang sempurna dan melakukan amaran Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱدۡخُلُواْ فِي ٱلسِّلۡمِ كَآفَّةٗ وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ ٢٠٨
“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu dalam Islam keseluruhan dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan! Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” [Surah al-Baqarah: 208]
Apabila mereka berkiblat kepada penjajah bukan Islam sehingga berwala’ kerana pengaruh kemajuan sains yang memisahkan ilmu daripada agama, perkara ini menyebabkan terpengaruh dengan mereka sehingga berwala’ pula dalam politik, ekonomi, pendidikan, dan lain-lain.
Kesan negatif yang dicipta oleh bukan Islam sedang merosakkan dunia terkini sebagaimana firman Allah SWT:
وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يُعۡجِبُكَ قَوۡلُهُۥ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَيُشۡهِدُ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا فِي قَلۡبِهِۦ وَهُوَ أَلَدُّ ٱلۡخِصَامِ ٢٠٤ وَإِذَا تَوَلَّىٰ سَعَىٰ فِي ٱلۡأَرۡضِ لِيُفۡسِدَ فِيهَا وَيُهۡلِكَ ٱلۡحَرۡثَ وَٱلنَّسۡلَۚ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلۡفَسَادَ ٢٠٥
“Dan antara manusia ada orang yang ucapannya tentang kehidupan dunia menarik hatimu, dan dipersaksikannya kepada Allah (atas kebenaran) isi hatinya, padahal dia merupakan penentang yang paling keras. (204) Dan apabila dia berpaling (daripada kamu), dia berjalan di bumi untuk mengadakan kerosakan padanya serta merosakkan tanaman dan binatang ternak, dan Allah tidak menyukai kebinasaan. (205)” [Surah al-Baqarah: 204–205]
Kesalahan rasuah berlaku apabila kehilangan jati diri beragama yang dipisahkan daripada pentadbiran negara dan undang-undang pencegahan yang tiada roh sehingga tidak dapat mengatasi nafsu kebendaan yang mencipta rasuah.
Terbukti Islam lebih baik dan menunjukkan model kerajaan yang berintegriti dan bersih, dibandingkan dengan kerajaan lain yang lebih berkuasa, namun gagal dengan salah laku dan berbagai-bagai kesalahan di hadapan mata, walau ditutup dan dibebaskan daripada tindakan undang-undang.
Kesalahan rasuah merosakkan akhlak serta menjadi fasiq dan zalim, tetapi tidak membatalkan aqidah yang lebih bahaya daripada fasiq dan zalim. Mudarat berwalikan bukan Islam lebih besar bahayanya daripada rasuah. Maka, menghapuskan kumpulan yang berwalikan musuh Islam didahulukan, selepasnya menyelesaikan masalah rasuah.
Dalam peristiwa Fathu Makkah umpamanya, Rasulullah SAW meninggalkan tindakan terhadap penjenayah yang zalim terhadap keluarga dan para sahabatnya dengan memaafkan mereka yang sangat zalim demi perpaduan yang kuat bagi menjatuhkan musuh Islam dan kumpulan yang berwala’ kepadanya.
Dalam amalan demokrasi Barat, suara terbanyak menjadi ukuran untuk mendapat kuasa tanpa mengira fasiq dan zalim. Islam mewajibkan beristiqamah dengan aqidah yang tidak boleh ditangguhkan, manakala kewajiban mencegah kemungkaran zalim dan fasiq boleh ditangguhkan sehingga berkuasa.
Rasulullah SAW mewajibkan jihad bagi menegakkan Islam, walaupun kepada orang yang fasiq dan zalim. Sabdanya:
الْجِهَادُ وَاجِبٌ عَلَيْكُمْ مَعَ كُلِّ أَمِيرٍ بَرًّا كَانَ أَوْ فَاجِرًا، وَالصَّلَاةُ وَاجِبَةٌ عَلَيْكُمْ خَلْفَ كُلِّ مُسْلِمٍ بَرًّا كَانَ أَوْ فَاجِرًا، وَإِنْ عَمِلَ الْكَبَائِرَ.
“Berjihad itu wajib bersama dengan sesiapa sahaja pemimpin sama ada dia seorang yang baik ataupun seorang yang jahat. Solat juga wajib sama ada mengikut imam yang baik ataupun imam yang jahat dan melakukan dosa besar.” [Hadis riwayat Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Kitab al-Jihad, no. 2533, daripada Abu Hurairah]
Tidak sah jihad berwalikan musuh Islam kerana mereka selama-lamanya tidak ikhlas kepada Islam. Adapun orang zalim dan fasiq adalah sah selagi aqidahnya masih tetap mempertahankan agama dan umatnya.
Sabda Rasulullah SAW:
وَإِنَّ اللهَ لَيُؤَيِّدُ هَذَا الدِّينَ بِالرَّجُلِ الْفَاجِرِ.
“Kadang-kadang Allah menjadikan yang mendukung agama ini melalui orang yang jahat.” [Hadis riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Qadar, no. 6606, daripada Abu Hurairah]
Adapun perjuangan meninggikan Islam diterima Allah jika berwalikan orang yang berdosa besar serta masih beraqidah dan beriman.
Kalau dibuat perbandingan berpandukan Islam, mudarat memberikan wilayah kepada bukan Islam lebih besar mudaratnya daripada jenayah rasuah. Maka, mudarat yang lebih besar ditolak terlebih dahulu dalam mengambil langkah mempertahankan kuasa Islam yang berdaulat. Kesalahan berwalikan bukan Islam boleh menghilangkan kedaulatan negara, raja, dan rakyat.
PAS tetap beristiqamah pada prinsip dan meletakkan petunjuk Islam adalah paling tinggi berkuasa dengan tidak mengongkong ilmu dan kebijaksanaan akal manusia dalam kajiannya, walaupun dituduh melampau serta tidak ada kumpulan profesional, bodoh, dan sebagainya. Firman Allah SWT:
وَإِذَا قِيلَ لَهُمۡ ءَامِنُواْ كَمَآ ءَامَنَ ٱلنَّاسُ قَالُوٓاْ أَنُؤۡمِنُ كَمَآ ءَامَنَ ٱلسُّفَهَآءُۗ أَلَآ إِنَّهُمۡ هُمُ ٱلسُّفَهَآءُ وَلَٰكِن لَّا يَعۡلَمُونَ ١٣
“Apabila dikatakan kepada mereka, ‘Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang lain telah beriman.’ Mereka menjawab, ‘Akan berimankah kami sebagaimana orang-orang yang bodoh itu telah beriman?’ Ingatlah, sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh; tetapi mereka tidak tahu.” [Surah al-Baqarah: 13]
Ternyata bahawa mereka yang tidak istiqamah sebenarnya diperbodohkan dengan godaan yang menyesatkan dari jalan yang lurus. Firman Allah SWT:
وَأَنَّ هَٰذَا صِرَٰطِي مُسۡتَقِيمٗا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ١٥٣
“Dan bahawa (yang Kami perintahkan) ini ialah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah ia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertaqwa.” [Surah al-An‘am: 153]
Rasulullah SAW menyebut ayat ini selepas menggariskan di atas tanah satu garisan yang lurus dan menggariskan di sampingnya cabang-cabang yang banyak sambil bersabda:
هَذَا صِرَاطُ اللهِ مُسْتَقِيمًا، وَهَذِهِ السُّبُلُ عَلَى كُلِّ سَبِيلٍ مِنْهَا شَيْطَانٌ يَدْعُو إِلَيْهِ.
“Jalan yang betul hanya satu saja, iaitu jalan Allah yang lurus ini sampai ke hujungnya. Adapun cabang-cabang yang banyak ini ialah kesesatan dan ada syaitan yang menggoda di setiap cabangnya.” [Hadis riwayat al-Nasa’i, al-Sunan al-Kubra, Kitab al-Tafsir, no. 11110 dan Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Mukthirin min al-Sahabah, no. 4142, daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud. Lafaz bagi al-Nasa’i]
Mereka yang dikatakan melawan rasuah sebenarnya berwalikan syaitan yang ramai menyumbang rasuah dan menjadi mangsa yang lebih banyak melakukan rasuah bukannya melawan rasuah, kerana mereka itu berkawan dengan syaitan besar yang membuang rasuah.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 8 Jumada al-Akhirah 1448 / 18 November 2026
[Bil: 76 / 2026]










