Terengganu, Malaysia

NRW Terengganu Meningkat 42 Peratus, 70 Peratus Kehilangan air Akibat Kebocoran

NRW Terengganu Meningkat 42 Peratus, 70 Peratus Kehilangan air Akibat Kebocoran

KUALA TERENGGANU, 16 November – Kadar kehilangan air tanpa hasil (NRW) di Terengganu meningkat kepada 42 peratus pada 2025 berbanding 40.1 peratus pada 2023, dengan kira-kira 70 peratus kehilangan air berpunca daripada kebocoran paip.

Penolong Setiausaha PAS Terengganu, Dato’ Hanafiah Mat berkata, berdasarkan rekod Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU), peningkatan kadar NRW itu menunjukkan cabaran besar dalam memastikan kecekapan sistem pengagihan bekalan air di negeri ini.

Menurutnya, Marang merekodkan kadar NRW tertinggi pada 2025 iaitu 48.3 peratus, diikuti Hulu Terengganu (46.6 peratus), Kuala Terengganu (46.5 peratus) dan Setiu (46.3 peratus).

Katanya, antara faktor utama yang menyumbang kepada kehilangan air ialah keadaan infrastruktur paip yang uzur serta kebocoran pada paip utama, paip agihan dan sambungan paip perkhidmatan.

“Sehingga April 2026, sepanjang 579 kilometer paip di Terengganu yang meliputi 131 kawasan panas dikenal pasti berada dalam keadaan kritikal dan perlu diganti secara berperingkat,” jelasnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, berkata demikian dalam soalan lisan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Sidang Bajet), hari ini.

Tambahnya, kebocoran bawah tanah yang tidak dapat dikesan dengan segera turut menyebabkan kehilangan air terawat secara berterusan sebelum sampai kepada pengguna.

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan