Sirah Rasulullah SAW dan generasi para Khulafa’ al-Rasyidin menunjukkan bahawa mereka adalah teladan terbaik bagi seluruh manusia dalam semua urusan kehidupan. Perkara ini sekali gus membuktikan bahawa Islam merupakan rahmat Allah kepada seluruh alam, khususnya rahmat menegakkan keadilan kepada seluruh manusia bermasyarakat majmuk dan menjadikannya salah satu ciri bertaqwa kepada Allah yang meletakkan martabat kemuliaan manusia.
Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنََٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ ٨
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil (teladan). Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” [Surah al-Ma’idah: 8]
Antara konsep bagi memastikan keadilan terlaksana adalah melalui sistem kehakiman, di mana ia sering kali menjadi ujian kepada mereka yang berada di tempat berkuasa. Memastikan bahawa hukum Islam lebih mengutamakan konsep mendidik manusia daripada menjatuhkan hukuman, antaranya keampunan mendahului pelaksanaan hukuman selagi ada ruang untuk seseorang itu diampuni.
Inilah yang menjadi sifat Allah Yang Maha Adil dan Maha Pengampun terhadap seluruh hamba-Nya, walaupun Tuhan Yang Maha Esa dan Maha Berkuasa itu juga yang bertindak terhadap para hamba-Nya. Dengan maksud meletakkan rahmat-Nya mendahului murka-Nya.
Apabila tidak ada jalan keampunan sebelum dibicarakan terlebih dahulu, pendekatannya seseorang yang dituduh bersalah itu dianggap tidak bersalah selagi dirinya tidak dibuktikan dengan sebenar-benarnya bersalah, sama ada melalui pengakuan dengan ikhlas tanpa paksaan dan godaan kerana benar-benar mahu menerima hukuman disebabkan dosanya. Namun, tindakan menyelesaikan kes di luar mahkamah dan bertaubat sebelum dibawa ke mahkamah adalah lebih afdal.
Setelah dibawa ke mahkamah ditetapkan sifat iman, ilmu dan akhlak seseorang hakim. Adapun kaedah perbicaraannya, seorang hakim mencari jalan supaya dibebaskan dengan hujah dan bukti yang kuat, bukan berusaha menjatuhkan hukuman kerana dendam, dengki, merebut kuasa dan sebagainya.
Sekiranya orang yang dituduh itu tidak mampu membela diri, maka dibenarkan pihak yang lain untuk menolongnya dengan menjadi wakil yang dinamakan sebagai peguam. Bukan bertujuan membela kejahatan, tetapi melakukan muhasabah perjalanan undang-undang yang adil dengan bukti dan saksi yang adil.
Antara teladan yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW ialah konsep pembahagian kuasa yang diteladani oleh sistem perundangan moden ciptaan Barat yang meniru Islam melalui pengajian orientalis daripada kitab-kitab fiqh Islam yang masih dalam simpanan arkib beberapa negara Barat, antaranya ialah konsep yang dinamakan al-faslu bayna al-sultat atau konsep separation of powers. Satu doktrin atau prinsip dalam pemerintahan demokrasi yang membahagikan fungsi dan kuasa negara kepada beberapa cabang yang bebas bagi mengelakkan penumpuan kuasa yang berlebihan atau kezaliman (tyranny).
Tiga Cabang Utama Kerajaan
Kuasa kerajaan biasanya dibahagikan kepada tiga cabang utama, iaitu:
1. Legislative (Badan Perundangan) yang berfungsi menggubal, membahaskan, dan meluluskan undang-undang (contohnya Parlimen atau Dewan Rakyat).
2. Executive (Badan Eksekutif) yang berfungsi melaksanakan dan mentadbir undang-undang (contohnya Perdana Menteri, Jemaah Menteri, dan kementerian).
3. Judiciary (Badan Kehakiman) yang berfungsi mentafsir undang-undang dan mengadili kes mengikut perlembagaan.
Ibn Kathir RH menyebutkan dalam tafsirnya bahawa Rasulullah SAW melaksanakan konsep tersebut dalam perkara yang berkait dengan urusan peribadinya sendiri ketika berlaku pertelingkahan dengan seorang Badwi (rakyat dari padang pasir yang jauh serta sangat jahil dan lemah).
Apabila Rasulullah SAW membeli seekor kuda daripadanya dan telah selesai persetujuannya untuk membayar. Tiba-tiba datang seorang yang menganggu untuk mengadu masalah, maka terlambat sedikit untuk menjelaskan bayarannya.
Kemudian, tiba-tiba datang seorang yang lain memotong jalan dan bersedia untuk membeli dengan bayaran yang lebih mahal, maka kuda itu hendak dijual kepada orang yang kedua. Apabila Rasulullah SAW mahu membayarnya, hal itu menimbulkan pertelingkahan. Namun, Rasulullah SAW tidak merampasnya dengan menggunakan kuasa seorang ketua negara dan seorang rasul yang dilantik oleh Allah SWT, tetapi tetap dibicarakan di hadapan khalayak ramai.
Apabila Khuzaimah RA menjadi saksi dan lain-lain mengesahkan apa yang sebenarnya berlaku, lalu kuda itu diserahkan kepada Rasulullah SAW dengan rela hati. [Ibn Kathir, Tafsir Ibn Kathir, Jld. 1, Hlm. 726]
Pengampunan dikurniakan kepada penjenayah berat ketika berlakunya Fathu Makkah, menjadi keutamaan demi menjaga perpaduan rakyat. Walaupun turut disenaraikan kalangan mereka yang diumumkan untuk dibicarakan kerana kesalahan yang telah dilakukan pada masa Islam belum berkuasa seperti membunuh, merampas harta dan lain-lain. Bahkan, ada kalangan mereka yang diampunkan kerana mempunyai jasa baik yang besar.
Antara cerita menarik yang terkenal dalam kalangan para sahabat selepas kewafatan Rasulullah SAW ialah perbicaraan mengenai baju rantai Khalifah Ali KW yang hilang, tiba-tiba dilihatnya berada di tangan seorang lelaki Yahudi bukan Islam yang mahu menjualnya. Khalifah Ali KW terus mendakwa bahawa baju rantai itu adalah kepunyaannya, manakala Yahudi itu pula berkeras bahawa baju rantai itu adalah kepunyaannya. Akhirnya, isu tersebut dibicarakan di hadapan seorang hakim muda bernama Syuraih al-Kindi.
Di mahkamah, Syuraih terus meminta Khalifah membawa saksi. Tiba-tiba saksinya ialah puteranya sendiri iaitu Hasan RA, maka Syuraih langsung menolaknya kerana hubungan ayah dan anak yang mesti berpihak kepadanya.
Ali KW berkata, “Tidakkah puteraku ini dijanjikan syurga yang oleh datuknya, Rasulullah SAW?”
Syuraih menjawab, “Itu mahkamah pada Hari Akhirat, kita sekarang berada di alam dunia.”
Akhirnya, Khalifah Ali KW mengalah walaupun beliau ialah seorang ketua negara yang berkuasa, namun beliau tidak mengganggu proses kehakiman. Lalu akhirnya, si Yahudi mengaku bahawa sebenarnya baju rantai itu adalah kepunyaan khalifah, dia mengambilnya ketika terjatuh daripada kudanya seraya menegaskan:
أَمَّا أَنَا فَأَشْهَدُ أَنَّ هَذِهِ أَحْكَامُ الْأَنْبِيَاءِ.
“Sesungguhnya, aku bersaksi bahawa inilah hukum para anbiya’ (daripada Allah Yang Maha Adil).” [Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, Jld. 8, Hlm. 5]
Terus si Yahudi itu mengucapkan dua kalimah syahadah.
Negara kita Malaysia pula sedang menyaksikan proses kehakiman yang diganggu-gugat oleh kuasa lain dalam peristiwa pengampunan kepada mantan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang terkini. Setelah beliau mendapat pengampunan diraja untuk menjalani tahanan rumah, tiba-tiba berlaku apa yang disaksikan oleh masyarakat umum selepas beberapa kenyataan pemimpin DAP.
Apa yang berlaku menunjukkan pengaruh DAP yang berideologi bukan Islam terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH), dan direndah-rendahkan kedudukan Raja yang disebut Daulat Tuanku yang pernah dipermainkan oleh penjajah dengan daulat tanpa kuasa. Apakah kita belum merdeka dan Raja pula dinafikan kedaulatannya kerana pengampunannya tidak bermakna?
Kita tidak mempersoalkan lagi soal keputusan mahkamah yang banyak persoalannya dari segi Islam dan telah pun dibuat keputusan. Kini, apa yang dipersoalkan ialah pengampunan yang dikatakan sebagai pengampunan diraja.
Keadaannya tidak mengambil teladan madani sebagaimana negara Madinah Rasulullah SAW, tidak juga madani versi Rom, Parsi, Eropah, Amerika dan jahiliah yang lain. Inilah Madani Malaysia kini (Islamnya liberal dan progresif bersama DAP yang tidak beragama).
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 1 Jumada al-Akhirah 1448 / 11 November 2026
[Bil: 74 / 2026]










