MELAKA – Sebanyak empat tawaran utama yang merangkumi aspek kebajikan, pendidikan, pembangunan belia dan penambahbaikan infrastruktur diketengahkan calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, Ridzuan Sarif, dalam manifesto khusus untuk penduduk kawasan itu.
Tawaran berkenaan dirangka dengan memberi tumpuan kepada keperluan harian masyarakat, termasuk meringankan beban keluarga, memperluas peluang pekerjaan, meningkatkan kemudahan komuniti dan menangani masalah kesesakan lalu lintas.
Menerusi tawaran pertama, Ridzuan memberi penekanan kepada kebajikan keluarga dan pendidikan melalui cadangan subsidi 50 peratus yuran asuhan kanak-kanak bagi keluarga layak, khususnya golongan B40.
“Kelas literasi kewangan komuniti bagi membantu penduduk mengurus kewangan dan hutang serta program tuisyen percuma untuk anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan.
“Tawaran kedua pula memberi fokus kepada pembangunan ruang rekreasi mesra keluarga selain mencari penyelesaian terhadap isu anjing liar di kawasan perumahan secara berperikemanusiaan dengan mengambil kira aspek keselamatan penduduk dan kebajikan haiwan,” jelasnya.

Bagi aspek pembangunan kemahiran dan kerjaya, tawaran ketiga merangkumi penyediaan kursus kemahiran praktikal dengan kerjasama Kolej Komuniti dan penyedia latihan tempatan.
“Ia turut melibatkan inisiatif membantu golongan orang kurang upaya (OKU) serta penjaga mendapatkan akses kepada bantuan kebajikan, latihan dan peluang pekerjaan, selain mewujudkan pusat padanan pekerjaan untuk penduduk setempat,” ujarnya.
Menariknya, Ridzuan turut mencadangkan penubuhan pusat rehat komuniti khusus untuk penghantar makanan dan barangan sebagai kemudahan berteduh serta berehat ketika menjalankan tugas.

Sementara itu, tawaran keempat memberi tumpuan kepada penambahbaikan infrastruktur dan kelancaran trafik menerusi sistem penyelarasan aduan penduduk dengan pemantauan berdasarkan petunjuk prestasi utama (KPI).
“Cadangan pelan penyuraian kesesakan lalu lintas di jalan utama Bukit Katil turut diketengahkan melalui kajian teknikal serta perbincangan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.
Keseluruhannya, empat tawaran itu mencerminkan pendekatan kempen Ridzuan yang mahu membawa isu dekat dengan kehidupan masyarakat ke dalam agenda pembangunan DUN Bukit Katil, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri Melaka.








