MELAKA, 5 November – PAS mempertaruhkan dua calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N13 Paya Rumput dan N17 Bukit Katil pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini, menerusi kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di bawah semangat Muafakat Melaka.
Kedua-dua calon berkenaan ialah Haji Rafie Ahmad di Paya Rumput dan Ridzuan Sarif di Bukit Katil, sebagaimana diumumkan dalam senarai calon PN.
Ketua Penerangan DHPP Pusat, Dr. Balachandran Gopal Krishnan, menyifatkan persefahaman itu sebagai usaha menyatukan kekuatan kedua-dua gabungan bagi mencapai hasrat “membirukan Melaka”, dengan kesejahteraan masyarakat berbilang kaum turut diberikan perhatian.
Menurut beliau, walaupun penyatuan ummah menjadi asas kerjasama tersebut, kepentingan masyarakat bukan Islam akan terus dipelihara agar manfaat kestabilan yang diusahakan dapat dirasai bersama.
“Penyatuan ini diterjemahkan melalui pentadbiran yang stabil, kebajikan yang terjaga dan penyelesaian masalah rakyat tanpa mengira kaum atau agama. Masyarakat bukan Islam juga akan mendapat manfaat daripada kerjasama ini,” katanya ketika mengulas perkembangan kempen PRN Melaka.
Beliau berkata, kekuatan kedua-dua calon turut terletak pada pengalaman berkhidmat serta hubungan yang telah dibina dengan masyarakat setempat.
Di Bukit Katil, Ridzuan meninggalkan perkhidmatan awam selepas hampir dua dekad berkhidmat dalam bidang kesihatan. Pengalaman itu menjadi bekalan untuk beliau memberikan tumpuan kepada keperluan penduduk kawasan berkenaan.
Dr. Balachandran menyifatkan keputusan Ridzuan meletakkan jawatan demi mewakafkan dirinya kepada rakyat Bukit Katil sebagai satu langkah besar yang memperlihatkan kesungguhan untuk berkhidmat.
Menurutnya, pengalaman Ridzuan dalam kesihatan persekitaran, penguatkuasaan dan kegiatan komuniti memberikan beliau pendedahan langsung kepada masalah harian rakyat.
Sementara itu, Haji Rafie membawa pengalaman dalam bidang perniagaan, pendidikan dan kebajikan masyarakat. Berdasarkan profil calon yang dikongsikan, beliau merupakan Pengerusi NGO Prihatin Melaka dan aktif dalam pelbagai kegiatan kemasyarakatan.
Dr. Balachandran turut mengetengahkan perjalanan hidup Rafie yang menjadi anak yatim ketika masih di bangku sekolah, namun terus cekal membina kehidupan sehingga berjaya.
“Pengalaman melalui kesusahan memberi makna tersendiri kepada hasrat beliau untuk berkhidmat. Beliau memahami betapa pentingnya sokongan dan peluang kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Sepanjang berada di lapangan, beliau berkata, terdapat kenalan dan penduduk yang tampil menyatakan sokongan serta berkongsi pengalaman mengenai keperibadian dan khidmat kedua-dua calon.
Dalam perkembangan gerak kerja masyarakat India, Dr. Balachandran memaklumkan bahawa beliau telah bertemu ketua bahagian MIC yang berkaitan untuk membincangkan program pertemuan bersama penduduk selepas cuti Deepavali.
Katanya, penyusunan masa itu mengambil kira kesibukan keluarga membuat persiapan perayaan supaya program dapat berlangsung dalam suasana yang lebih selesa.
Bagi masyarakat Cina pula, beliau memaklumkan bahawa wakil LPN telah melaksanakan aktiviti ziarah dan mengadakan majlis minum petang bersama calon. Beberapa program susulan turut dirancang bagi meneruskan pertemuan dengan penduduk setempat.
Menurut beliau, pertemuan seperti ini perlu menjadi ruang dua hala untuk masyarakat mengenali calon, mengemukakan persoalan dan menyampaikan keperluan kawasan masing-masing.
“Kepercayaan rakyat perlu dibina melalui kesediaan mendengar, kehadiran yang berterusan dan tindakan terhadap masalah yang dibangkitkan. Itulah tanggungjawab yang perlu dibawa oleh setiap calon,” katanya.










