FRANKFURT – Demonstrasi membantah peningkatan kos sara hidup, pemotongan peruntukan pendidikan dan rancangan memperkenalkan khidmat ketenteraan wajib di Jerman bertukar ganas apabila beberapa kedai dirompak dan premis perniagaan dirosakkan.
Rusuhan yang berlaku di Frankfurt pada Sabtu malam itu menyaksikan sekumpulan individu memecahkan tingkap kedai, mencuri barangan serta membaling batu dan bom petrol ke arah anggota keselamatan.
Polis terpaksa menggunakan meriam air dan semburan lada bagi mengawal keadaan, manakala seorang anggota polis dilaporkan cedera.
Demonstrasi anjuran gerakan belia Gen Z regelt! itu berlangsung di 34 bandar termasuk Berlin, Frankfurt dan Munich, dengan kira-kira 18,000 peserta direkodkan di tiga bandar berkenaan.
Jurucakap gerakan itu, Lina Friedrich, berkata peserta berhimpun bagi memperjuangkan keamanan dan kebebasan serta membantah dasar yang dianggap mengabaikan keperluan generasi muda.
“Kami berada di sini hari ini untuk memperjuangkan keamanan dan kebebasan, bukannya peperangan dan paksaan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri negeri Hesse, Roman Poseck, mendakwa kira-kira 100 individu yang dikenal pasti sebagai ekstremis sayap kiri menyusup masuk ke dalam demonstrasi di Frankfurt.
Beliau mengecam tindakan keganasan itu dan memberi amaran supaya Jerman tidak mengulangi kejadian rusuhan serta penjarahan seperti yang pernah berlaku di Perancis.
Insiden berkenaan memperlihatkan ketegangan sosial yang semakin ketara apabila isu kos sara hidup, pendidikan dan dasar ketenteraan menjadi antara faktor yang mencetuskan ketidakpuasan hati golongan muda di Jerman.










