Oleh : Fatimah Din
MARANG – Penghayatan Surah An-Nur perlu diperkukuh bagi memelihara maruah umat Islam, membendung gejala maksiat dan membina institusi keluarga yang berpaksikan akidah serta syariat Islam.
Ahli Jawatankuasa PAS Hulu Terengganu, Ustaz Kamaruzaman Abdullah berkata, Surah An-Nur yang mengandungi 64 ayat menggariskan pelbagai panduan kehidupan, termasuk hukum zina, qazaf, adab pergaulan dan kewajipan menjaga kehormatan diri.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pengisian Bicara Surah An-Nur Peringkat DUN Rhu Rendang di Surau Toki Rusdi, Kampung Alur Tuman, Rhu Rendang, pada 27 Oktober lalu.
“Surah An-Nur bukan sekadar membicarakan hukum-hakam, malah memberikan panduan menyeluruh kepada umat Islam dalam menjaga maruah, mengatur pergaulan dan membina kehidupan berkeluarga mengikut tuntutan syariat,” katanya.
Menurut beliau, pendidikan keluarga perlu bermula sejak pemilihan pasangan hidup dan diteruskan dengan didikan berteraskan akidah serta syariat bagi membentuk generasi yang memahami tanggungjawab, adab dan batas pergaulan.
Beliau turut mengingatkan umat Islam agar tidak sewenang-wenangnya membuat tuduhan zina terhadap seseorang tanpa bukti yang sah kerana perbuatan tersebut berkait dengan hukum qazaf yang ditegaskan dalam Islam.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa peristiwa fitnah terhadap Saidatina Aisyah RA yang dirakamkan dalam Surah An-Nur ayat 11 hingga 20 menjadi pengajaran besar tentang bahaya penyebaran fitnah serta kepentingan menyelidiki sesuatu berita sebelum mempercayai atau menyebarkannya.
“Umat Islam perlu berhati-hati dalam menerima dan menyebarkan sesuatu berita, lebih-lebih lagi apabila melibatkan maruah seseorang. Jangan sampai lidah dan jari kita menjadi punca tersebarnya fitnah yang merosakkan kehormatan orang lain,” katanya.
Selain itu, Surah An-Nur turut menekankan kepentingan menjaga pandangan, menghormati privasi kediaman orang lain serta menjauhi perbuatan yang boleh membuka ruang kepada kemaksiatan.
Beliau menegaskan bahawa penghayatan terhadap surah berkenaan tidak seharusnya terhenti pada pembacaan semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui amalan dalam kehidupan seharian, khususnya dalam mendidik anak-anak dan membentuk hubungan kekeluargaan yang harmoni.
Justeru, penghayatan Surah An-Nur perlu terus diperkasakan dalam masyarakat bagi melahirkan keluarga Muslim yang berpegang teguh kepada ajaran Islam, memelihara kehormatan diri dan membina persekitaran kehidupan yang berlandaskan iman serta akhlak mulia.










