MARANG – Khidmat Malaysia Marang memperkukuh kesiapsiagaan banjir melalui penyelarasan operasi bersama pihak berkuasa bagi memastikan bantuan mangsa disalurkan pantas dan berkesan.
Pengerusi Khidmat Malaysia Marang, Irsyad Syafiq Burhanuddin berkata, kerjasama erat dengan pihak berkuasa amat penting bagi memastikan setiap persediaan menghadapi bencana dilaksanakan secara sistematik dan menyeluruh.
“Persediaan awal sangat penting supaya anggota, sukarelawan dan keperluan logistik dapat digerakkan dengan segera apabila berlaku banjir. Kita mahu memastikan bantuan sampai kepada penduduk yang terjejas dengan cepat dan teratur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika kunjung hormat Khidmat Malaysia Marang kepada Pegawai Daerah Marang selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Marang di pejabatnya disini pada Selasa, 27 Oktober.
Menurut beliau, pertemuan itu turut menjadi platform untuk membincangkan pelan operasi banjir serta penyelarasan peranan sukarelawan bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah bagi menghadapi kemungkinan bencana sepanjang musim tengkujuh.
“Antara perkara yang diberi perhatian ialah kesiapsiagaan anggota, keperluan logistik dan pengenalpastian kawasan tumpuan bantuan bagi memastikan keperluan penduduk terjejas dapat dikenal pasti serta disalurkan mengikut keutamaan,” katanya.
Irsyad berkata, penyelarasan gerak kerja sebelum, semasa dan selepas banjir perlu diberi perhatian bagi mengelakkan pertindihan tugas serta memastikan setiap tindakan di lapangan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Kita bukan sahaja perlu bersedia dari segi tenaga sukarelawan, malah aspek logistik, komunikasi dan pembahagian tugas juga perlu dirancang dengan baik. Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan pengurusan bencana berjalan lancar,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Khidmat Malaysia Marang komited untuk terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dan agensi berkaitan dalam memperkukuh kesiapsiagaan bencana serta memastikan kebajikan dan keselamatan masyarakat setempat sentiasa menjadi keutamaan.
“Usaha berterusan itu diharap dapat meningkatkan keupayaan gerak kerja sukarelawan dalam menghadapi musim tengkujuh, sekali gus memastikan bantuan kemanusiaan dapat disampaikan secara lebih cekap, tersusun dan menyeluruh kepada penduduk yang memerlukan,” katanya lagi.









