15 Tahun Kewujudan Ameerah Malaysia : Generasi Muslimah Muda Cakna Ummah.

8

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

Sosok anak anak muda perempuan dengan guratan wajah bening sentiasa memeriahkan program jamaah. Mereka melengkapkan cantuman mozaik perjuangan dalam PAS, masih kukuh energi serta sarat dengan idealisme untuk membangunkan gerakan Islam tertua di tanahair ini. Sering bergentayangan di ruang maya video video pendek yang impulsif tentang PAS, lahir daripada kelembutan dan kreativiti anak- anak muda PAS ini. Kini sudah 15 tahun ” anak remaja” ini berlari dalam rentak perjuangan yang berpelangi indah.

Menurut Sheikh Munir Ghad’ ban, Rasulullah SAW semenjak dizaman awal dakwah di Mekah telah memperlihatkan tendensi dan kesungguhan membina generasi muda. Kelompok pemuda dipilih oleh baginda untuk menjadi panglima perang, utusan dakwah, tenaga nuqoba’ serta pelbagai fungsi. Generasi muda sangat penting sebagai pelapis perjuangan dan menjadi kayu ukur atau indikator untuk melihat masa depan Islam.

Kewujudan Ameerah adalah jawaban kepada tuntutan zaman yang bergerak pantas. Usaha untuk memperkasa elemen muslimah muda dalam Dewan Muslimat PAS Pusat maka lahirlah entiti baru yang akan menjadi tarikan pesona anak muda kepada Dewan Muslimat. Dilancarkan sempena Simposium Pakatan Rakyat bertempat di Dewan Millinea Kepala Batas Pulau Pinang pada 1 Oktober 2011. Program skala mega itu juga sebagai acara pemanas badan sebelum menghadapi PRU yang ke 13.

Fenomena sokongan kepada parti bukan BN melonjak semenjak 2008 apabila BN tumbang dilima buah negeri dan kehilangan dokongan warga Wilayah Persekutuan (BN Hanya menang di dua kerusi Parlimen). Anak- anak muda melihat kegagalan pentadbiran BN, salah urus yang menjolok mata serta penyakit KKN. Keghairahan kelompok anak muda menolak BN sangat jelas saat itu, ditandai dengan kehadiran mereka dalam program ceramah, menyertai demonstrasi, sembang politik dan sebagainya.

Kewujudan Ameerah juga untuk merapatkan jurang generasi dalam muslimah, semakin ramai kelompok muda kelas menengah Melayu dizaman millenia. Kerancakan program kaderisasi dakwah di kampus sekaligus melonjakkan tenaga pakar muslimah muda yang wajib dimanfaatkan oleh PAS. Penulis yang berada di dalam Dewan Millinea Kepala Batas pada hari pelancaran Ameerah merasa teruja melihat simbolik epal hijau. Satu simbolik akan energi dan usaha pemberdayaan kelompok anak muda yang tak terikat dengan budaya kerja Muslimat yang rata- ratanya berumur.

Ameerah membuka keahliannya untuk generasi yang berumur 21 tahun ke 40 tahun, aktivitinya pelbagai dengan usaha utamanya untuk merengkuh sokongan anak muda. Antara program yang sering ditempelkan dalam gerakerja Ameerah sepanjang sedekad keberadaannya dalam harakatul ummah ini ialah seperti bedah buku, tutorial memakai tudung, seminar smart learning, bulatan gembira (usrah), jaulah tarbawi, acara sukan Ameerah, ziarah, mewujudkan ikon Ameerah negeri dan kawasan yang terdiri daripada kalangan anak muda Muslimat yang piawai.

PAS merasa bangga dengan kewujudan entiti muslimah muda ini yang sentiasa melengkapi gerakerja Dewan Muslimat. Muktamar Dewan Muslimah di PPI Bachok Kelantan baru baru ini dilontarkan usul penubuhan muslimah muda dan mendapat respon hangat. PRU 16 nanti segmen besar pengundi muda sehingga mencecah 60 peratus . Perubahan zaman dengan generasi milineal yang rapuh sehingga digelar generasi strawberry mestilah ditanggani dengan cermat oleh muslimah PAS. Jurang generasi melahirkan kelompangan yang akan dimanipulasi oleh pihak lain yang lebih agresif. Penulis yakin isu penubuhan Dewan Muslimah Muda akan terus muncul pada masa mendatang.

Sepanjang 15 tahun penubuhannya, Ameerah Malaysia dimatangkan dengan pengukuhan organisasi, perubahan kepimpinan malah ada yang melompat ke bahtera lain. Pengarahnya yang pertama ialah Faridah Abdul Samad,
yang memimpin daripada tahun 2011 sehingga 2015. Seterusnya aktivis daripada kawasan Pandan Selangor
Siti Farah Mohamed ( 2015-2017). Anakanda Mursyidul Am PAS yang kini sedang melanjutkan pendidikan doktoratnya di UITM , Cik Husna Hashim Jasin. Baton kepimpinan Ameerah beralih kepada ADUN Terengganu
Zuraida Md Noor (2019-2021), seterusnya Pengarah Ameerah Malaysia berganti dengan anak Pulau Pinang
Dr Siti Mastura Muhammad (2021-2023).

Seorang peguam muda berbakat besar yang juga ADUN Pengkalan Kundor Kedah iaitu Mardhiyyah Johari memimpin organisasi ini sejak 2023 sehingga sekarang.
Cabaran Ameerah semakin membesar kerana anak muda semakin mual dengan politik,intriq dan polemik. Dunia anak muda seperti kembar Siam dengan dunia hiburan, adakah Ameerah mampu menarik anak anak muda kepada perjuangan PAS untuk masa mendatang?. PRU 16 ini akan menyaksikan persaingan hebat beberapa koalisi politik, cabaran semakin rencam kepada PAS . Pengundi kali pertama perlu didekati dan disantuni sebaik mungkin oleh Ameerah dan juga entiti anak muda lain dalam PAS.

(Penulis ialah AJK PAS PUSAT, Pengerusi LESTARI)