KUALA TERENGGANU – Kerajaan Persekutuan digesa menjalankan siasatan terhadap polemik membabitkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli dan New Age Movement (NAM), bagi memastikan perkara itu dapat diputuskan berdasarkan bukti serta penjelasan pihak berkaitan.
Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, YB Haji Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, siasatan penting bagi memastikan setiap dakwaan yang timbul dapat dinilai berdasarkan bukti dan penjelasan pihak berkaitan, bukannya bersandarkan maklumat yang tersebar di media sosial.
Katanya, beliau sendiri hanya mengikuti perkembangan isu berkenaan melalui media sosial dan tidak mempunyai maklumat lengkap untuk menentukan kesahihan dakwaan yang tersebar.
“Saya sebenarnya dapat maklumat itu melalui media sosial, pusing-pusing, mungkin macam saudara-saudari juga.
“Di situ saya tidak tahu yang mana betul dan yang mana silap. Jadi saya rasa tidak adil kalau saya menyatakan ini untuk mana-mana pihak,” jelasnya.
Beliau ketika ditemui media pada Majlis Penutup Ku Haraki di Yayasan Pembangunan Usahawan, di sini, semalam.


Polemik berkenaan timbul susulan dakwaan yang mengaitkan Marhamah dengan NAM, termasuk dakwaan bahawa beliau menganut, mengamalkan atau menyebarkan fahaman berkenaan, yang dinafikan beliau.
Marhamah sebelum ini berkata beliau bersedia meletakkan jawatan sekiranya dibuktikan di mahkamah bahawa beliau menyesatkan orang ramai.
Mohd Nurkhuzaini berkata, kerajaan perlu mengambil serius dakwaan dan tuntutan yang dikemukakan oleh mana-mana pihak dengan memastikan perkara berkenaan diteliti secara rasmi.
“Lebih baik kerajaan ambil tindakan untuk menyiasat, pihak yang menuntut mungkin mempunyai bukti-bukti yang kukuh untuk dikemukakan.
“Kita harap pihak Kerajaan Persekutuan peka terhadap tuntutan rakyat dan bukti-bukti yang dikemukakan supaya satu tindakan yang adil dan memuaskan hati semua pihak dapat diambil,” ujarnya.
Tambahnya, langkah tersebut juga penting bagi mengelakkan polemik berpanjangan serta memastikan masyarakat mendapat penjelasan yang jelas mengenai kedudukan sebenar isu berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini berkata polemik tersebut bukan semata-mata berkaitan dakwaan sama ada Marhamah mengajar ajaran sesat, sebaliknya turut menyentuh persoalan pandangan dan sokongan terhadap NAM yang menurut beliau bercanggah dengan fatwa.




























