Muslimat Perlu Perkasa Peranan Bentuk Generasi Pewaris

17

SETIU – Golongan Muslimat perlu memperkasakan peranan dalam membentuk generasi pewaris dan memperkukuh nilai serta ketahanan masyarakat dalam mendepani cabaran zaman.

Ketua Dewan Muslimat PAS Setiu, Wan Rahman Abd Rahman berkata, peranan seorang Muslimat bukan sekadar sebagai anggota gerakan.

Sebaliknya katanya, membawa amanah besar dalam membina keluarga, generasi dan peradaban.

Menurutnya, golongan wanita perlu melengkapkan diri dengan ilmu, ketakwaan dan keberanian bagi mempertahankan nilai-nilai kebenaran.

“Nama Mujahidah bukan sekadar satu gelaran kosong, ia membawa gelora tanggungjawab yang besar.

“Di bahu kalianlah lahirnya generasi pewaris, dan daripada acuan tangan kalianlah runtuhnya atau bangkitnya sebuah peradaban,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Mujahidah Dewan Muslimat PAS Kawasan Setiu, di Dewan Komuniti Sri Langkap, hari ini.

Wan Rahman menambah, himpunan berkenaan bukan sekadar pertemuan, sebaliknya menjadi medan untuk membugar kembali tekad, menyatukan saf dan memperkasakan peranan Muslimat.

Katanya, kesempatan berhimpun juga perlu dimanfaatkan untuk saling memperkukuh hubungan, bertukar pandangan dan membina semangat baharu untuk terus berbakti kepada masyarakat.

“Jadikan ruang ini sebagai platform untuk kita saling memperkukuh, bertukar fikiran dan pulang nanti dengan semangat baharu untuk berbakti agar jemaah dapat dipertingkatkan demi kelangsungan parti kita,” ujarnya.