AS-Sabiqun Kuala Nerus Himpun 200 Veteran PAS

4

KUALA NERUS – Sekitar 200 veteran PAS daripada empat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Kawasan Kuala Nerus dijangka berhimpun menerusi Himpunan As-Sabiqun PAS Kawasan Kuala Nerus, Sabtu ini.

Ketua Urusan As-Sabiqun PAS Kawasan Kuala Nerus,Ustaz Haji Zakaria Dagang berkata, himpunan berkenaan dianjurkan sebagai wadah menghimpunkan para veteran PAS dalam kawasan itu selain mengeratkan hubungan serta memperkukuh semangat perjuangan dalam kalangan As-Sabiqun dan As-Sabiqat.

Menurutnya, program bertemakan “Istiqamah Hingga Kematian” itu akan berlangsung pada 26 September 2026 di Kompleks At-Taqwa (KOMTAQ), Batu Enam, Kuala Nerus.

“Program ini akan menghimpunkan para As-Sabiqun dan As-Sabiqat daripada empat DUN dalam Kawasan Kuala Nerus dan dijangka disertai sekitar 200 orang.

“Selain ucapan daripada kepimpinan, majlis turut diisi dengan perkongsian pengalaman tokoh-tokoh veteran dari setiap DUN,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, program berkenaan akan dirasmikan Timbalan Ketua Dewan As-Sabiqun PAS Pusat, Haji Ismail Mohamad.

Katanya, perkongsian pengalaman veteran itu diharap dapat menjadi ruang untuk generasi baharu mengenali sejarah serta pengalaman perjuangan PAS di peringkat kawasan.