Mana Model Negara Islam Perjuangan PAS

6

Sudahkah PAS bersedia dengan negara Islam perjuangannya?

Inilah soalan paling kerap ditanyakan. Bukan hanya persoalan ke Putrajaya, sehingga ada yang bertanya siapa ketua kerajaannya, Perdana Menterinya, hala tujunya (road map), atau rangka tindakannya (blueprint). Disebabkan jawapannya tidak ada dan tidak kelihatan, maka tidak boleh dipercayai, padahal Rasulullah SAW juga dicabar sepertinya.

Kemenangan bersyarat ialah janji Allah SWT:

وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ كَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَهُمُ ٱلَّذِي ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنٗاۚ يَعۡبُدُونَنِي لَا يُشۡرِكُونَ بِي شَيۡـٔٗاۚ وَمَن كَفَرَ بَعۡدَ ذَٰلِكَ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ ٥٥

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi (memerintah negara) sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan Dia sungguh-sungguh akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredai-Nya untuk mereka (Islam yang berdaulat), dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahku-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Aku. Dan sesiapa yang (tetap) kufur (kepada kurnia Allah) sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.” [Surah al-Nur: 55]

Al-Quran ialah mukjizat ilmu daripada Allah Yang Maha Mengetahui, menjadi petunjuk kekal kepada seluruh manusia sepanjang zaman.

Allah SWT mentafsirkan dengan firman-Nya:

لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٞ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأٓخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرٗا ٢١

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu, (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Kiamat, dan dia banyak menyebut Allah.” [Surah al-Ahzab: 21]

Rasulullah SAW ialah teladan yang memberikan jawapan dengan kejayaan menegakkan negara yang berjaya.

Al-Quran membawa cerita teladan terhadap dua jenis kerajaan:

1. Kerajaan Nabi Dawud AS yang menjadi khalifah, bukan raja.
2. Kerajaan Nabi Sulaiman AS dan Zulqarnain AS, kedua-duanya raja yang adil dan dipuji Allah.

Mereka bermadani dengan hidayah Allah.

Al-Quran juga membawa contoh kerajaan zalim yang dilaknat Allah. Mereka bermadani dengan ciptaan manusia yang dibinasakan.

Mereka dipimpin oleh kumpulan al-mala’ (kumpulan pembesar) sebagaimana yang dihadapi oleh Nabi Nuh AS. Ada negara yang dipimpin oleh seorang diktator seperti kerajaan Namrud di negara Babylon dan Firaun, raja Mesir yang berlagak Tuhan. Ada kaum yang berkuasa seperti kaum ‘Ad dan kaum Thamud. Begitu juga negara Athens yang berkonsepkan demokrasi purba kuasa rakyat dan lain-lain yang bermadani kebendaan. Semuanya menolak tawaran para anbiya’ AS yang beraqidah kepatuhan kepada Allah sahaja dan berwawasan dunia hingga akhirat.

Semua yang melawan Allah dan Rasul-Nya dilaknat dan dibinasakan, tetapi kesan bangunan dan kota yang tersergam dibiarkan menjadi lawatan manusia sehingga hari ini.

Namun begitu, tidak ada satu pun bangunan peninggalan Nabi Dawud, Nabi Sulaiman, dan Zulqarnain AS. Ramai yang mencari-cari di mana peninggalan mereka, termasuk kota yang dibangunkan oleh Zulqarnain yang membantu kaum lemah yang diceroboh oleh keganasan Yakjuj dan Makjuj secara percuma.

Apabila Rasulullah SAW menawarkan kerajaan besar yang dijanjikan Allah kepada Islam yang bersifat sejagat, maka banyak yang mencabar siapa rajanya dan siapa ketua negaranya, bilamana tasawur (gambaran nyata) pembangunan mereka ialah yang boleh memberikan kesenangan hidup di alam dunia.

Apabila Rasulullah SAW ditanya oleh Bani ‘Amir:

أَيَكُونُ لَنَا الْأَمْرُ مِنْ بَعْدِكَ؟

“Adakah kami yang akan menjadi raja atau ketua negara selepas kamu?”

Baginda SAW menjawab:

‌الْأَمْرُ ‌إلَى ‌اللَّهِ يَضَعُهُ حَيْثُ يَشَاءُ.

“Urusan kerajaan itu kepunyaan Allah, Dia memberikannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.” [Ibn Hisham, al-Sirah al-Nabawiyyah, jld. 1, hlm. 425]

Prinsip ini berslogankan, “لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ”.

Mereka terus menolak kerana tidak ada janji jawatan dan kesenangan hidup dunia kepada mereka, malah ramai musuh Islam dari seluruh penjuru dunia akan menentangnya. Tidak ada janji projek pembangunan yang bersifat kekayaan yang dapat dilihat dan dirasai.

Nabi Musa dan Nabi Harun AS ditolak oleh Firaun dengan angkuh sambil menyatakan pembangunan negara Mesir yang berada bawah kerajaannya lebih baik, sementelah Musa dan Harun AS tidak boleh menunjukkan apa-apa yang dapat dilihat. Firman Allah SWT menceritakan ucapan Firaun:

وَنَادَىٰ فِرۡعَوۡنُ فِي قَوۡمِهِۦ قَالَ يَٰقَوۡمِ أَلَيۡسَ لِي مُلۡكُ مِصۡرَ وَهَٰذِهِ ٱلۡأَنۡهَٰرُ تَجۡرِي مِن تَحۡتِيٓۚ أَفَلَا تُبۡصِرُونَ ٥١ أَمۡ أَنَا۠ خَيۡرٞ مِّنۡ هَٰذَا ٱلَّذِي هُوَ مَهِينٞ وَلَا يَكَادُ يُبِينُ ٥٢ فَلَوۡلَآ أُلۡقِيَ عَلَيۡهِ أَسۡوِرَةٞ مِّن ذَهَبٍ أَوۡ جَآءَ مَعَهُ ٱلۡمَلَـٰٓئِكَةُ مُقۡتَرِنِينَ ٥٣ فَٱسۡتَخَفَّ قَوۡمَهُۥ فَأَطَاعُوهُۚ إِنَّهُمۡ كَانُواْ قَوۡمٗا فَٰسِقِينَ ٥٤ فَلَمَّآ ءَاسَفُونَا ٱنتَقَمۡنَا مِنۡهُمۡ فَأَغۡرَقۡنَٰهُمۡ أَجۡمَعِينَ ٥٥ فَجَعَلۡنَٰهُمۡ سَلَفٗا وَمَثَلٗا لِّلۡأٓخِرِينَ ٥٦

“Dan Firaun berseru kepada kaumnya (seraya) berkata, ‘Wahai kaumku, bukankah kerajaan Mesir ini kepunyaanku dan (bukankah) sungai-sungai ini mengalir di bawahku; maka adakah kamu tidak melihatnya? (51) Bukankah aku lebih baik daripada orang yang hina ini dan yang hampir tidak dapat menjelaskan (perkataannya)? (52) Mengapa tidak dipakaikan kepadanya gelang daripada emas atau malaikat datang bersama-sama dia untuk mengiringkannya?’ (53) Maka, Firaun mempengaruhi kaumnya (dengan perkataan itu), lalu mereka patuh kepadanya. Kerana sesungguhnya mereka ialah kaum yang fasiq. (54) Maka, tatkala mereka membuat Kami murka, Kami menghukum mereka, lalu Kami tenggelamkan mereka semuanya (di laut). (55) Dan Kami jadikan mereka sebagai pelajaran dan contoh bagi orang-orang yang kemudian. (56)” [Surah al-Zukhruf: 51–56]

Allah SWT menceritakan ucapan yang sama oleh para pemimpin Makkah yang mencabar Rasulullah SAW dengan jawapan mereka:

وَلَقَدۡ صَرَّفۡنَا لِلنَّاسِ فِي هَٰذَا ٱلۡقُرۡءَانِ مِن كُلِّ مَثَلٖ فَأَبَىٰٓ أَكۡثَرُ ٱلنَّاسِ إِلَّا كُفُورٗا ٨٩ وَقَالُواْ لَن نُّؤۡمِنَ لَكَ حَتَّىٰ تَفۡجُرَ لَنَا مِنَ ٱلۡأَرۡضِ يَنۢبُوعًا ٩٠ أَوۡ تَكُونَ لَكَ جَنَّةٞ مِّن نَّخِيلٖ وَعِنَبٖ فَتُفَجِّرَ ٱلۡأَنۡهَٰرَ خِلَٰلَهَا تَفۡجِيرًا ٩١ أَوۡ تُسۡقِطَ ٱلسَّمَآءَ كَمَا زَعَمۡتَ عَلَيۡنَا كِسَفًا أَوۡ تَأۡتِيَ بِٱللَّهِ وَٱلۡمَلَـٰٓئِكَةِ قَبِيلًا ٩٢ أَوۡ يَكُونَ لَكَ بَيۡتٞ مِّن زُخۡرُفٍ أَوۡ تَرۡقَىٰ فِي ٱلسَّمَآءِ وَلَن نُّؤۡمِنَ لِرُقِيِّكَ حَتَّىٰ تُنَزِّلَ عَلَيۡنَا كِتَٰبٗا نَّقۡرَؤُهُۥۗ قُلۡ سُبۡحَانَ رَبِّي هَلۡ كُنتُ إِلَّا بَشَرٗا رَّسُولٗا ٩٣

“Dan sesungguhnya, Kami telah mengulang-ulang kepada manusia dalam al-Quran ini tiap-tiap macam perumpamaan, tetapi kebanyakan manusia tidak menyukai kecuali mengingkarinya. (89) Dan mereka berkata, ‘Kami sekali-kali tidak percaya kepadamu hingga kamu memancarkan mata air dan bumi untuk kami. (90) Atau kamu mempunyai sebuah kebun kurma dan anggur, lalu kamu alirkan sungai-sungai di celah kebun yang deras alirannya. (91) Atau kamu jatuhkan langit berkeping-keping atas kami sebagaimana kamu katakan atau kamu datangkan Allah dan malaikat-malaikat berhadapan muka dengan kami. (92) Atau kamu mempunyai sebuah rumah daripada emas atau kamu naik ke langit. Dan kami sekali-kali tidak akan mempercayai kenaikanmu itu hingga kamu turunkan atas kami sebuah kitab yang kami baca.’ Katakanlah, ‘Maha Suci Tuhanku, bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi rasul?’ (93)” [Surah al-Isra’: 89–93]

Firman Allah SWT:

وَلَقَدۡ صَرَّفۡنَا فِي هَٰذَا ٱلۡقُرۡءَانِ لِلنَّاسِ مِن كُلِّ مَثَلٖۚ وَكَانَ ٱلۡإِنسَٰنُ أَكۡثَرَ شَيۡءٖ جَدَلٗا ٥٤

“Dan sesungguhnya, Kami telah mengulang-ulang bagi manusia dalam al-Quran ini bermacam-macam perumpamaan. Dan manusia ialah makhluk yang paling banyak membantah.” [Surah al-Kahf: 54]

Mereka mengakui ketokohan Rasulullah SAW dari sudut kebijaksanaan dan akhlaknya, namun banyak musuhnya kerana ajarannya dianggap luar biasa. Firman Allah SWT:

وَقَالُوٓاْ إِن نَّتَّبِعِ ٱلۡهُدَىٰ مَعَكَ نُتَخَطَّفۡ مِنۡ أَرۡضِنَآۚ أَوَ لَمۡ نُمَكِّن نُمَكِّن لَّهُمۡ حَرَمًا ءَامِنٗا يُجۡبَىٰٓ إِلَيۡهِ ثَمَرَٰتُ كُلِّ شَيۡءٖ رِّزۡقٗا مِّن لَّدُنَّا وَلَٰكِنَّ أَكۡثَرَهُمۡ لَا يَعۡلَمُونَ ٥٧

“Dan mereka berkata, ‘Jika kami mengikuti petunjuk bersama kamu, nescaya kami akan diusir dari negeri kami.’ Dan adakah Kami tidak meneguhkan kedudukan mereka dalam daerah haram (tanah suci) yang aman, yang didatangkan ke tempat itu buah-buahan daripada segala macam (tumbuh-tumbuhan) untuk menjadi rezeki (bagimu) daripada sisi Kami? Akan tetapi, kebanyakan mereka tidak mengetahui.” [Surah al-Qasas: 57]

Apabila mereka menawarkan kepada Rasulullah SAW sendiri menjadi raja atau pemimpin mereka serta bersedia menyerahkan kekayaan dan sokongan, tiba-tiba ditolak oleh Rasulullah SAW.

Mereka tidak percaya kepada janji Allah, yakni kemenangan di dunia dan lebih tidak percaya lagi akan janji Syurga dan kemenangan di akhirat, bahkan mereka memperolok-olokkan dan mengejeknya. Terkini dengan lisan, tulisan, dan karikatur.

Firman Allah SWT:

وَلَئِن سَأَلۡتَهُمۡ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلۡعَبُۚ قُلۡ أَبِٱللَّهِ وَءَايَٰتِهِۦ وَرَسُولِهِۦ كُنتُمۡ تَسۡتَهۡزِءُونَ ٦٥

“Dan jika kamu tanyakan kepada mereka (tentang apa-apa yang mereka lakukan itu), tentulah mereka akan menjawab, ‘Sesungguhnya kami hanyalah bersenda gurau dan bermain-main saja.’ Katakanlah, ‘Adakah dengan Allah, ayat-ayat-Nya, dan Rasul-Nya kamu selalu berolok-olok?’” [Surah al-Tawbah: 65]

Hanya Bani Syaiban terkejut apabila Rasulullah SAW menyebut bahawa urusan penentuan pemimpin ialah kepunyaan Allah dan menyeru kepada ucapan syahadah.

Mereka menyampuk dengan rasa takut kerana kerajaan sebegitu cabarannya sangat besar:

هَذَا أَمْرٌ الّذِي تَكْرَهُهُ الْمُلُوكُ.

“Ungkapan yang kamu serukan kepada kami ini dimurkai oleh semua raja dan kerajaan dunia.

Maka berkata salah seorang daripada mereka:

إِذَنْ تُحَارِبُكَ الْعَرَبُ وَالْعَجَمُ.

“Justeru, kamu akan diperangi oleh Arab dan bukan Arab (seluruh dunia).” [Sa‘id Hawwa, al-Asas fi al-Tafsir, jld. 4, hlm. 1984]

Apabila Rasulullah SAW menyebut firman Allah SWT:

۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُ بِٱلۡعَدۡلِ وَٱلۡإِحۡسَٰنِ وَإِيتَآيِٕ ذِي ٱلۡقُرۡبَىٰ وَيَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَآءِ وَٱلۡمُنكَرِ وَٱلۡبَغۡيِۚ يَعِظُكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَذَكَّرُونَ ٩٠

“Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan serta memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang daripada perbuatan keji, kemungkaran, dan permusuhan. Dia memberikan pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.” [Surah al-Nahl: 90]

Mereka seolah-olah mengatakan bahawa apa yang diucapkan bukan ucapan dari bumi, namun wahyu yang turun dari langit. Mereka merasa betapa baiknya ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan jika terpaksa berdepan dengan kabilah Arab mereka bersedia. Malangnya, mereka tidak mampu menghadapi kuasa besar seperti Parsi. [Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, jld. 4, hlm. 357]

Sabda Rasulullah SAW:

أَرَأَيْتُمْ إِنْ لَمْ تَلْبَثُوا إِلَّا قَلِيلًا حَتَّى يُورِثَكُمْ اللهُ أَرْضَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ وَيُفْرِشَكُمْ نِسَاءَهُمْ.

“Apakah pandangan kalian jika berlaku dalam masa yang singkat, Allah menjadikan kalian golongan yang dapat memerintah bumi mereka, harta-harta mereka, rumah-rumah mereka, dan perempuan-perempuan mereka? [Al-Suhaili, al-Rawd al-Unuf, jld. 4, hlm. 62–64]

Apabila Rasulullah SAW didatangi oleh ‘Adi bin Hatim al-Ta’i, seorang paderi (sebelum memeluk Islam), Rasulullah SAW menyebut firman Allah SWT:

ٱتَّخَذُوٓاْ أَحۡبَارَهُمۡ وَرُهۡبَٰنَهُمۡ أَرۡبَابٗا مِّن دُونِ ٱللَّهِ وَٱلۡمَسِيحَ ٱبۡنَ مَرۡيَمَ وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُوٓاْ إِلَٰهٗا وَٰحِدٗاۖ لَّآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَۚ سُبۡحَٰنَهُۥ عَمَّا يُشۡرِكُونَ ٣١

“Mereka menjadikan orang-orang alim mereka dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah dan (juga mereka mempertuhankan) al-Masih putera Maryam, padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan yang Esa, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Maha Suci Allah daripada apa-apa yang mereka sekutukan.” [Surah al-Tawbah: 31]

Rasulullah SAW menolak negara teokrasi bawah kuasa mutlak para agamawan serta menolak slogan “suara rakyat, suara Tuhan” (suara rakyat, suara keramat atau vox populi, vox dei) kerana rakyat akan diperbodohkan, dibeli, dan dibuli.

Islam menegaskan Allah Yang Maha Esa, Maha Berkuasa, dan Maha Menetapkan kepada manusia perkara di luar kemampuan fitrahnya dengan nas yang nyata, namun ada perkara yang diizinkan kepada pemimpin dan rakyat dengan kemampuan akal dan pengalaman berbekalkan ilmu wahyu dan ilmu akal. Demikianlah ajaran Islam yang bersifat wasatiyyah (saksama dan adil).

Allah menjadikan kerajaan juga ialah ujian kepada manusia. Firman Allah SWT:

تَبَٰرَكَ ٱلَّذِي بِيَدِهِ ٱلۡمُلۡكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ ١ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ ٢

“Maha Suci Allah yang dalam Tangan-Nyalah segala kerajaan dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. (1) Yang menjadikan mati dan hidup supaya Dia menguji kamu siapa antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. (2)” [Surah al-Mulk: 1–2]

Percayalah bahawa kerajaan yang berprinsipkan iman dan berkonsepkan adil menunaikan amanah dalam memerintah negara, akan datang keberkatan kuasa yang kuat dan harta yang melimpah ruah kerana keberkatannya yang dijanjikan Allah SWT melalui firman-Nya:

وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡهِم بَرَكَٰتٖ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذۡنَٰهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ ٩٦

“Sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatan mereka.” [Surah al-A‘raf: 96]

Bermula dengan perpaduan umat yang diikat dengan tali Allah (Islam), seterusnya melahirkan kumpulan pemimpin yang memberikan kemenangan. Firman Allah SWT:

وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءٗ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦٓ إِخۡوَٰنٗا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٖ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡهَاۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ ١٠٣ وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ١٠٤

“Dan berpeganglah kamu semuanya pada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan ni‘mat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana ni‘mat Allah orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang Neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu darinya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk. (103) Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma‘ruf, dan mencegah daripada yang mungkar; merekalah orang-orang yang mendapat kemenangan. (104)” [Surah Ali ‘Imran: 103–104]

Tercipta para pemimpin yang dinyatakan dengan pertolongan Allah SWT, setelah mereka berjuang mentadbir masyarakat majmuk sebagaimana firman-Nya:

ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بِغَيۡرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُۗ وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠ ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ ٤١

“(Iaitu) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata, ‘Tuhan kami hanyalah Allah.’ Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi, dan masjid-masjid yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa. (40) (Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma‘ruf, dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar; dan kepada Allahlah kembali segala urusan. (41)” [Surah al-Hajj: 40–41]

Pemimpin yang ditarbiah dengan ilmu dan perjuangan, bercirikan peribadi yang berintegriti rabbani (sentiasa beribadat), memimpin masyarakat majmuk pelbagai agama dan bangsa, berkebajikan, kehebatan undang-undang mencegah kemungkaran yang mendidik bukan mendera, serta berwawasan jauh daripada dunia sehingga akhirat.

Dibuktikan dengan negara Madinah yang bercirikan madani hidayah (petunjuk Allah), bukan madani jibayah (bergantung dengan kewangan sahaja atau takhta yang berharta).

Islam mampu memimpin dunia selama 13 abad mencipta hadarah Islamiah (tamadun Islam) yang berjasa kepada seluruh dunia. Kedatangannya menjadi penyelamat, bukan penjajah. Kehilangannya pula kerana meninggalkan Islam, bukan kegagalan ideologi yang menjadi ajal kepada semua kuasa besar yang tamat pada zaman dahulu mahupun kini.

Negara Islam yang merdeka gagal apabila terus mengekalkan ideologi warisan penjajah dan yang diimport.

Allah menjanjikan kelahiran para pemimpin paling berwibawa. Firman Allah SWT:

وَجَعَلۡنَا مِنۡهُمۡ أَئِمَّةٗ يَهۡدُونَ بِأَمۡرِنَا لَمَّا صَبَرُواْۖ وَكَانُواْ بِـَٔايَٰتِنَا يُوقِنُونَ ٢٤

“Dan Kami jadikan antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberikan petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar. Dan mereka meyakini ayat-ayat Kami.” [Surah al-Sajdah: 24]

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 10 Rabi‘ al-Akhir 1448 / 22 September 2026

[Bil: 61 / 2026]