Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.
Gerakan Islam tertua di tanahair ini sentiasa dipetik namanya, samada sisi gelap atau sisi terang kepada PAS ianya tetap menguntungkan PAS. Masyarakat tetap meletakkan PAS sebagai pemain utama politik negara ini, dibenci atau dicintai harakatul ummah ini diberikan perhatian oleh seluruh rakyat. Ramai penganalisa politik yang berimbang mengakui kejituan nuansa perjuangan PAS yang dipasak pada akal pengikutnya melalui satu ekosistem yang lengkap. Jihad ta’lim ( pendidikan ) antara kitaran ekosistem yang mengikat akal inilah melahirkan sikap berkorban , rasa kepunyaan ( self of belonging) pada jemaah yang ditakrifkan oleh pembenci PAS sebagai taksub.
PAS melalui Dewan Muslimahnya menyemai asuhan dan pendidikan melalui TASTI, manakala Dewan Pemuda PAS menyambung pendidikan pra sekolah PAS iaitu PASTI, institusi pra sekolah terbesar dan diakui terbaik setakat ini. Diseluruh tanahair , institusi sekolah rendah Islam tajaan PAS tidak cukup bilangan untuk menampung permintaan rakyat. SRITI ,DAR serta pelbagai nama menyemai asuhan bagi memandaikan generasi muda yang seimbang matlamat dunia dan akhirat. Tiada pertubuhan politik tanahair yang mampu bersaing dengan PAS dalam bab pendidikan ,dakwah dan kebajikan.
PAS mempunyai kitaran ekosistem lengkap pendidikan, pendidikan menengah yang paling kritikal untuk membentuk jatidiri manusia diusahakan oleh jamaah ini. Ratusan sekolah pondok ,tahfiz , juga sekolah menengah Islam yang digerakkan oleh PAS adalah kilang perkaderan yang tak mampu dipecahkan atas perbedaan manhaj. seterusnya diikat dengan kelab remaja PAS, bagi memastikan anak remaja PAS menjalani hidup sebagai remaja Islam.
PAS mengusahakan pendidikan tinggi walau tanpa dana yang besar, demi menampung pendemokrasian pendidikan. Kolej Universiti dengan peluang melanjutkan pendidikan di luar negara diusahakan oleh gerakan Islam yang juga mempunyai rangkaian strategik diperingkat antarabangsa. Dialiran arus perdana , PAS mempunyai sistem tajnid ( perkaderan ) semenjak dekad 80an lagi .
Anak muda yang sarat dengan idealisme memasuki kampus dengan mengikat diri dengan organisasi PAS di kampus. Generasi yang dikaderkan oleh PAS akan menolak pandangan kedua serta lahirlah perasaan cinta kepada perjuangan tetapi ditakrif oleh pembenci PAS sebagai taksub. PAS meletakkan perjuangan politik mereka bukan sekadar terputus dengan sebuah kematian insan tetapi sehingga hari akhirat. dapat menyelam jauh ke dasar perjuangan PAS, melihat bagaimana PAS menterjemahkan cara hidup Islam kepada setiap pendokong nya. Segalanya bermuara daripada pelbagai program keilmuan yang PAS aturkan untuk semua penyokong serta pendokongnya.
Keutuhan ekosistem PAS ditunjang kuat dengan sikap berkorban ahli ahli mereka. ” Parti tin milo” mereka gelarkan pada PAS untuk meremehkan, namun siapa pun akan terkesan dengan budaya infak dalam harakatul ummah ini. Minggu lepas semasa perasmian bangunan baru PAS Kawasan Dungun, pengerusi majlis mengumumkan hutang bangunan yang masih berbaki sebanyak 40 ribu ringgit ,maka tabung derma jihad dilancarkan kepada khalayak yang hadir. Mengejutkan apabila jumlah wang yang terkumpul untuk membayar
baki hutang dapat dikutip sebanyak 60 ribu ringgit!.
Keikhlasan dan istiqomah mudah disebut , meluncur dibibir mulut namun untuk dilaksanakan paling sukar. Harakatul ummah ini merimbun subur ,dipasak besi kursani kefahaman akidah perjuangan. Menerjah badai yang panjang ,telah melepasi 75 tahun perjuangan kerana adanya watak- watak yang tak dikenali dibumimnamun dikenali di langit. Mereka ikhlas dan berkorban untuk perjuangan Islam tanpa adanya matlamat peribadi, agenda tersembunyi untuk meraih laba dunia, mobiliti sosial dan sebagainya.
Kalian mungkin pernah mendengar pelbagai kisah heroik generasi lama PAS. Ada pimpinan pimpinan peringkat pertengahan zaman dahulu akan menjual tanah tanah mereka untuk memastikan PAS masuk bertanding dalam pilihanraya. Antaranya mantan YDP PAS Kawasan Lipis, bahkan ada yang paling pelik bukan mereka bertanding, sahabat lain bertanding, namun itulah pengorbanan untuk jamaah yang mereka cintai. Pelbagai kisah penoreh getah di kawasan perdesaan Perak yang menyisihkan tiga keping getah setiap hari untuk infaq kepada perjuangan.
Generasi lama pendokong PAS dekad 70an dan 80an dengan pelbagai ujian kehidupan. Ramai mana kalangan amilin ini rumahnya uzur dan buruk, pakaiannya lusuh dan lama tak bertukar namun sebahagian pendapatan hariannya disumbangkan kepada PAS. Mereka menyiapkan markas tarbiah, madrasah, mengumoul wang untuk anak- anak ahli menyambung pendidikan ke luar negara. Bahkan kelompok amilin inilah yang kita temui setiap kali himpunan besar di kotaraya, datang daripada hujung kampong, menabung duit untuk menyertai rombongan ke Muktamar, himpunan , demonstrasi, dan lain – lain program jamaah.
Kesan kepada sistem pentarbiahan PAS kepada pimpinan dan penyokong PAS maka lahirlah “Al fahmu”, daripada alfahmu inilah maka lahirlah pejuang serta kader perjuangan yang iltizam untuk memenangkan perjuangan PAS. Ahli-ahli PAS bawahan telah diasuh untuk berkorban untuk memenangkan jemaah mereka dalam pilihanraya.Ekosistem pentarbiahan yang PAS corakkan mampu melahirkan ahli- ahli yang bersengkang mata, mengucur keringat, berkorban harta benda bahkan melebihi calon pilihanraya bagi memastikan kemenangan jamaah.
Kelompok amilin yang istiqomah dengan perjuangan sehingga helaan nafas terakhir, mereka kadang tak dikenali, tak mendapat ganjaran dunia seperti elaun, pelbagai akses kepada kemudahan, gemerlip simbahan suluhan lensa dan pencen namun kerja buat mereka untuk mendapat keredhaan Allah itulah yang menyuburkan perjuangan Islam walau berdada dengan pelbagai ujian. Ekosistem inilah yang digeruni dan dicemburui oleh musuh , menjadi prasyarat kemenangan kepada kumpulan Islam.
(Penulis merupakan AJK PAS Pusat, dan Pengerusi Lestari)





























