Penyatuan Ummah: Peluru Menghancurkan Kebiadapan Musuh

3

Muktamar PAS Pusat ke-72 baru-baru ini telah mengumpan minat yang mendalam para pemerhati politik tanah air. Dengan tetamu khas yang dijemput dari kalangan Umno, musuh lama PAS yang telah membuka pintu kerjasama di dua PRN Johor da Negeri Sembilan. Keputusannya, telah membuahkan hasil yang begitu baik.

PH kehilangan empat kerusi mereka di Johor hasil daripada arahan Presiden PAS kepada ahli-ahli PAS di Johor yang tidak mempunyai calon dari kalangan PAS atau PN di Dun yang mereka, untuk mengundi calon BN. Terdapat berita berkenaan perbincangan untuk memberikan PAS dua kerusi sebelum PRN.

Namun Presiden PAS dengan jelas menyatakan bahawa PAS lebih selesa menjaga gol sahaja di Johor. Walaupun kehilangan semua kerusinya, PAS sangat berpuashati kerana Johor kekal di tangan Melayu Islam. Ini matlamat PAS yang jelas, tidak berubah sejak sekian lama.

Skrip di Negeri Sembilan yang agak berbeza dengan tiada lagi kerusi yang bertindan. PAS dan PN mendapat kerusi mereka sendiri dan menang tujuh kerusi. Manakala BN mendapat sehingga 18 kerusi, kemudiannya bergabung dengan PN, bagi menguasai kerajaan, merampasnya dari PH. Dan sekarang, rakyat berbicara tentang Melaka. Sepertinya mereka mahukan lagi kemenangan sebegini.

Melayu Islam menolak PH

Kepada PH, ini jelas satu penolakan kaum Melayu Islam terhadap mereka. Mereka sedar akan hal ini. Malah bukan menjadi rahsia yang ramai pengundi Cina, masih merajuk dengan PH. Ramai yang tidak pulang mengundi. Adakah mereka akan terus merajuk dan mengharapkan PN pula untuk memerintah negara dengan PAS sebagai peneraju, ia tidaklah diketahui secara terperinci.

Namun kemenangan di kedua negeri ini juga, bukanlah bermakna Umno dan BN telah kembali mendapat tempat di hati rakyat Malaysia secara mutlak, walaupun undi diberikan oleh rakyat kepada mereka.

Hanyasanya kebencian rakyat terhadap PH lebih kuat yang menjadikan PH tidak lagi dilihat boleh memberikan harapan yang dikehendaki oleh rakyat. Oleh itu, walaupun PH cuba bermain dengan sentimen seperti RCI TH, PH tetap kalah. Hilang sudah kepercayaan rakyat.

PAS telah melihat segala ini semenjak beberapa tahun lebih awal lagi. Ada arahan dari pimpinan PAS untuk tidak berbalah dengan Umno, semenjak MN 1.0 dahulu lagi, walaupun Umno kemudian dengan sombong menolak ajakan PAS untuk membina negara bersama selepas keputusan PRU-15.

Umno melalui Presidennya, lebih memilih berpakat dengan ‘cikgu’nya dan memberikan alasan ia bagi kesejahteraan rakyat. Namun, Presiden PAS tidak mahu Umno hanyut dengan PH yang dikuasai oleh kuasa lain, tetap berusaha memujuk Umno.

PAS pilihan orang Melayu untuk memimpin

Akhirnya Umno sedar akan penolakan oleh ahli mereka sendiri dengan ada yang keluar parti kerana merasa tertipu dengan janji-janji pimpinan mereka No Anwar, No DAP. Ini bukan omongan kosong. Ia terbukti secara jelas dalam beberapa keputusan PRK yang telah berlangsung pasca PRU-15.

Ada 15 PRK yang telah berlaku (dua kerusi kerana kematian sebelum PRU berlangsung) dengan satu kerusi bertukar tangan di Nenggiri yang mana ia adalah kerusi tradisi Umno yang dimenangi kembali daripada PAS. Manakala 12 lagi mengekalkan ‘status quo’.

Namun apa yang dibaca oleh semua parti, bukan hanya keputusan menang kalah, tetapi peratusan mengundi yang rendah dan jika berkekalan, ia tidak memihak kepada BN. Ada kawasan yang BN menang atas ihsan undi bukan Melayu.

Ia terbukti berlaku. Bukan Melayu penyokong PH, dipujuk mengundi BN yang mereka mahu jatuhkan sebelum PRU-15 dahulu oleh pimpinan PH. Sementara PN pula walaupun peratusan keluar mengundi rendah di Parlimen Kuala Terengganu, Kemaman dan Dun Sungai Bakap, PN masih berjaya menokok majoriti kerana undi Melayu Islam yang semakin kuat.

Corak pengundian ini sudah lama diteliti kepimpinan PAS. Oleh itu hampir semua Dewan-Dewan yang bermuktamar baru-baru ini telah memilih tajuk bertemakan penyatuan ummah dan kemenangan sebagai manifestasi kepada kesungguhan ahli-ahli PAS mahu melaksanakan hasrat murni ini.

Kesungguhan oleh ahli-ahli PAS dalam mentaati keputusan jemaah, tidak dapat disangkal lagi. Bukti-bukti yang banyak yang telah mereka berikan, walak kepada keputusan, ada dalam lipatan sejarah.

Penyatuan Ummah menggerunkan musuh

Maka tema Muktamar PAS Pusat dan Dewan-Dewannya itu, bakal direalisasikan menjadi peluru bagi menghancurkan kebiadapan musuh yang cuba memecahkan penyatuan ummah. Kita sebagai Melayu Islam adalah tuan kepada tanah ini, tanpa mengenepikan hak-hak golongan lain dibawah perlembagaan negara.

Ternyata ada kumpulan yang menjadi paronia dengan penyatuan ummah ini. Ia menjadi hambatan kepada mereka supaya berusaha lebih keras untuk memusnahkan kesatuan hati umat Melayu Islam. Takut kehilangan kuasa.

Maka dungulah jika masih ada pihak yang sudah diselamatkan dari kehancuran, kemudiannya melalak menyebut hak mereka kepada berapa kerusi yang mereka bakal dapat jika bergabung dan mempersoalkan keikhlasan PAS dalam penyatuan ini. Juga meletakkan syarat yang kumpulan tertentu sahaja boleh ada dalam penyatuan ini, kumpulan lain tidak boleh, walau sesama bangsa.

Jangan kita menjadi sebagai Bani Israel yang setelah diselamatkan Allah menerusi Nabi Musa a.s daripada kekejaman Firaun, melintasi Laut Merah, kemudian meminta diadakan patung-patung untuk disembah, hanya kerana melihat satu kaum yang sedang menyembah berhala terus lupa akan ujian yang baru menimpa.

Peluru penyatuan yang hebat ini jangan dimusnahkan dek kerana ketamakan kamu, sedang kamu tahu ia sepatutnya dan boleh diguna sebaiknya untuk menghancurkan musuh. Formula asasnya melalui penyelesaian Islam. Jalan mana lagi yang kamu mahu?

Mohd Nasir Abdullah
16 September 2026