Undang-undang warisan penjajah perlu dihapuskan bagi memastikan erti kemerdekaan dapat dihayati sepenuhnya. Khususnya, undang-undang yang menghalang kedudukan Islam di tempatnya yang mulia mengatasi undang-undang ciptaan manusia yang tidak diizinkan oleh Allah SWT kerana banyak kelemahannya yang merebakkan kemungkaran.
Firman Allah SWT:
أَمۡ لَهُمۡ لَهُمْ شُرَكَـٰٓؤُاْ شَرَعُواْ لَهُم مِّنَ ٱلدِّينِ مَا لَمۡ يَأۡذَنۢ بِهِ ٱللَّهُۚ وَلَوۡلَا كَلِمَةُ ٱلۡفَصۡلِ لَقُضِيَ بَيۡنَهُمۡۗ وَإِنَّ ٱلظَّـٰلِمِينَ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ ٢١
“Apakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan Allah? Sekiranya tidak ada ketetapan yang menentukan (daripada Allah) tentulah mereka telah dibinasakan. Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan memperoleh azab yang amat pedih.” [Surah al-Syura: 21]
Generasi awal dalam kalangan ahli Parlimen daripada Kerajaan Perikatan yang terdiri daripada UMNO, MCA dan MIC, serta PAS daripada parti pembangkang berjaya meletakkan Islam sebagai agama negara dan mengekalkan hak penganut agama lain dalam kalangan rakyat masyarakat majmuk. Pelaksanaan ini berkonsepkan tiada paksaan beragama dan berlaku adil kepada seluruh manusia sebagaimana yang ditetapkan oleh Allah.
Suruhanjaya Reid
Pihak British menubuhkan Suruhanjaya Reid bagi menggubal perlembagaan negara bertujuan meneruskan penjajahan baharu secara halus. Suruhanjaya Reid ditubuhkan pada Mac 1956 bagi merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu sebagai persediaan ke arah kemerdekaan.
Suruhanjaya bebas ini dipengerusikan oleh seorang hakim Mahkamah Rayuan England dan dianggotai oleh pakar-pakar undang-undang dari negara Komanwel, iaitu:
• Lord William Reid (Pengerusi – United Kingdom)
• Sir Ivor Jennings (United Kingdom)
• Sir William McKell (Australia)
• Hakim B. Malik (India)
• Hakim Abdul Hamid (Pakistan)
Tidak ada seorang pun wakil dari Persekutuan Tanah Melayu.
Perbahasan mengenai agama dalam Laporan Suruhanjaya Reid merupakan antara perkara paling sengit yang dibahaskan semasa penggubalan perlembagaan. Kronologi dan dinamik perbahasan tersebut merangkumi aspek berikut:
• Cadangan Asal Parti Perikatan
Parti Perikatan (UMNO, MCA, MIC) telah menghantar memorandum yang mendesak agar Islam diakui sebagai agama Persekutuan. Walau bagaimanapun, dalam draf awal, terdapat usul tambahan yang menyatakan bahawa peruntukan ini tidak bermaksud negara ini bukan sebuah negara sekular. Akhirnya, istilah sekular dihapuskan daripada perlembagaan.
• Sikap Raja-raja Melayu
Pada peringkat awal, Raja-raja Melayu agak keberatan dengan cadangan meletakkan Islam di peringkat Persekutuan. Hal ini demikian kerana, baginda bimbang peruntukan pusat tersebut akan menjejaskan kuasa mutlak Raja-raja sebagai Ketua Agama Islam yang berdaulat di negeri masing-masing. Oleh itu, usul frasa “negara sekular” tersebut akhirnya ditolak sepenuhnya oleh Jawatankuasa Kerja Perlembagaan dan Raja-raja Melayu.
• Syor Hakim Abdul Hamid
Beliau merupakan satu-satunya anggota suruhanjaya yang bertegas menyokong penuh agar status Islam dimasukkan ke dalam draf perlembagaan secara rasmi. Beliau berhujah bahawa peruntukan sedemikian rupa sememangnya sudah sedia wujud dalam undang-undang tubuh negeri-negeri Melayu.
• Bantahan Parti Pembangkang (PAS)
Setelah draf laporan diumumkan, PAS mengkritik hebat Laporan Suruhanjaya Reid. PAS menganggap peruntukan agama tersebut terlalu longgar dan hanya sekadar hiasan. PAS menuntut pelaksanaan Islam yang lebih menyeluruh selari dengan maksud al-din, termasuk syarat supaya Perdana Menteri mestilah seorang yang beragama Islam.
• Kompromi Akhir (Perkara 3)
Melalui rundingan dan tolak ansur antara kaum dan pihak jawatankuasa kerja, pindaan muktamad telah dibuat. Islam diterima sebagai agama bagi Persekutuan (seperti yang termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan). Sebagai jaminan keharmonian, hak penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan mereka dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan tetap dipelihara sepenuhnya.
Raja-raja Melayu, PAS dan beberapa pemimpin UMNO telah memainkan peranan menolak pentafsiran sekular kepada Islam yang menjadi agama negara. Namun begitu, diletakkan pula beberapa peruntukan yang menghalang pelaksanaan syariat Islam yang sempurna, antaranya disebut dengan Jadual Kesembilan.
Pembahagian Bidang Kuasa (Senarai Persekutuan vs Senarai Negeri)
Badan perundangan negeri hanya berkuasa menggubal kesalahan terhadap ajaran Islam. Kuasa ini tertakluk kepada Jadual Kesembilan, Senarai II (Senarai Negeri) dalam Perlembagaan Persekutuan. Negeri tidak boleh menggubal undang-undang bagi perkara yang diletakkan di bawah Senarai Persekutuan (seperti undang-undang jenayah sivil).
Pertindihan skop undang-undang jenayah sering menyebabkan peruntukan enakmen negeri dicabar di mahkamah.
Had Hukuman Mahkamah Syariah
Bidang kuasa menghukum Mahkamah Syariah dihadkan oleh undang-undang persekutuan. Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) mengehadkan hukuman maksimum 3:5:6. Berdasarkan pindaan tahun 1984, bidang kuasa hukuman takzir bagi Mahkamah Syariah dihadkan kepada:
• Penjara: Maksimum 3 tahun.
• Denda: Maksimum RM 5,000.
• Sebatan: Maksimum 6 kali.
Sebatan ini bersifat menyeksa, bukan mendidik, sepertimana yang ditetapkan syaratnya dalam hukum Islam. Had hukuman ini menghalang pelaksanaan bentuk hukuman jenayah syariah yang lebih berat.
Kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai Undang-Undang Tertinggi
Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan menetapkan perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara. Mana-mana undang-undang yang berlawanan dengan perlembagaan boleh dibatalkan. Maka, pelaksanaan penuh undang-undang jenayah syariah memerlukan pindaan perlembagaan yang meluas di peringkat Parlimen.
Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Ahmad Ibrahim mencadangkan agar kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia ditafsirkan dan diperkasakan secara menyeluruh sebagai al-din (cara hidup yang lengkap), bukan sekadar agama rasmi yang terbatas kepada ritual.
Pandangan ini disokong oleh beberapa orang Ketua Hakim Negara dan ilmuwan seperti Tun Salleh Abas, Tan Sri Harun Hashim, Tun Ahmad Fairuz, Prof. Nik Abdul Rashid, dan tokoh-tokoh perundangan lain. Antara yang dicadangkan oleh mereka:
1. Pentafsiran Luas Perkara 3(1)
Beliau berpendapat peruntukan agama Islam bagi Persekutuan merangkumi semua aspek kehidupan bermasyarakat, perundangan, politik, dan ekonomi. Islam hendaklah ditafsirkan dengan maksud al-din (bahasa al-Quran).
2. Pemansuhan Undang-Undang Sivil British
Mengesyorkan pemansuhan Civil Law Act 1956 secara berperingkat agar negara tidak terus terikat sepenuhnya kepada common law selepas merdeka.
3. Pindaan Perlembagaan
Memasukkan klausa atau prinsip yang menegaskan bahawa apa-apa undang-undang yang bertentangan dengan ajaran Islam adalah ditolak.
4. Penyelarasan Perundangan
Mewajibkan rujukan kepada prinsip hukum syarak dalam enakmen dan akta negara bagi memastikan keharmonian antara undang-undang sivil dengan syariah.
Namun begitu, beberapa parti yang ditubuhkan selepas kemerdekaan menjadi pencabar perubahan, khususnya Pakatan Harapan yang didominasi oleh DAP.
Apakah buktinya?
1. Mukadimah Perlembagaan DAP
Mukadimah Perlembagaan DAP menyatakan bahawa Perlembagaan Merdeka (Perlembagaan Persekutuan 1957) ialah satu dokumen sekular yang mendukung prinsip demokrasi, kebebasan, kedaulatan undang-undang, kesaksamaan, dan hak asasi manusia (mengikut takrif mereka).
2. Fasal Matlamat
DAP menetapkan matlamat untuk berjuang menerusi saluran perlembagaan parlimen bagi memulihkan struktur undang-undang tertinggi negara agar kembali kepada kerangka sekular yang asal.
3. Isu dan Kontroversi Politik
DAP tetap mempertahankan agenda Negara Sekular dan slogan “Malaysian Malaysia” dalam perjuangan parti mereka sedangkan ia boleh dianggap bercanggah dengan kontrak sosial dan identiti Islam negara. Prinsip ini sering menjadi titik perdebatan hangat dalam landskap politik Malaysia.
4. Pendirian Konsisten Parti
Setiausaha Agung DAP terkini, Anthony Loke, menegaskan parti tidak akan meminda atau menggugurkan ketetapan sekular tersebut. Beliau menyatakan bahawa perkara tersebut merupakan ideologi asas perjuangan parti dan persetujuan telah dicapai bersama rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan untuk menghormati perlembagaan dalaman parti masing-masing.
Apa maknanya menghormati perlembagaan dalaman parti masing-masing?
Pada masa yang sama, DAP menunjukkan protes terhadap pelaksanaan Islam di negeri-negeri yang diperintah oleh PAS secara terbuka. DAP mendakwa peningkatan hukuman yang drastik melanggar semangat Perlembagaan Persekutuan serta asas negara majmuk.
5. Tuduhan Agenda Tersembunyi
Pemimpin DAP mendakwa ia langkah awal ke arah pelaksanaan hukum hudud.
6. Bantahan Terbuka
Pemimpin DAP secara konsisten mengetuai kempen menolak usul persendirian (private member’s bill) yang dibawa oleh PAS terhadap pindaan Rang Undang-undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) atau RUU 355 di Parlimen.
7. Rakan-Rakannya dalam Pakatan Harapan
PKR dan PAN hanya ‘menikus’ dalam isu berkenaan.
Semua ini menunjukkan bahawa DAP menguasai Pakatan Harapan (PH) kerana semuanya menjadi kelu apabila parti itu tidak putus-putus melakukan provokasi terhadap agama Islam. Namun begitu, ada juga dalam kalangan DAP yang tidak bersetuju dengan pemimpinnya yang mencampuri urusan umat Islam.
Kedudukan Islam adalah prinsip aqidah kepada penganut Islam, dan mereka wajib beristiqamah tanpa bertasamuh (bertoleransi). Firman Allah SWT:
وَأَنَّ هَٰذَا صِرَٰطِي مُسۡتَقِيمٗا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ١٥٣
“Dan bahawa (yang Kami perintahkan ini) adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah dia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertaqwa.” [Surah al-An‘am: 153]
PAS membatalkan tahaluf siyasi dengan semua pihak termasuk DAP apabila mencabar aqidah perjuangannya dalam perkara untuk meninggikan kedudukan Islam. Hal ini diteladani daripada Rasulullah SAW yang membatalkan tahaluf dengan kaum Yahudi Madinah dan Musyrikin apabila kedudukan Islam mula dicabar secara terbuka. Allah menetapkan sempadan kerjasama dengan pihak bukan Islam melalui firman-Nya:
لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ ٩
“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. [8] Sesungguhnya, Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan sesiapa yang menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)” [Surah al-Mumtahanah: 8-9]
Negara beberapa kali melalui Parlimen melakukan perubahan melalui pindaan perlembagaan. Namun begitu, perubahan itu hanya melibatkan perkara yang bukan dasar, tidak khusus untuk meninggikan kedudukan Islam yang wajib dilaksanakan dengan perintah Allah. Firman Allah SWT:
إِنَّآ أَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِتَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ بِمَآ أَرَىٰكَ ٱللَّهُۚ وَلَا تَكُن لِّلۡخَآئِنِينَ خَصِيمٗا ١٠٥
“Sesungguhnya, Kami telah menurunkan kitab kepadamu dengan membawa kebenaran, supaya kamu mengadili antara manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan kepadamu, dan janganlah kamu menjadi penentang (orang yang tidak bersalah), kerana (membela) orang-orang yang khianat.” [Surah al-Nisa’: 105]
Firman Allah SWT:
هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ ٩
“Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkannya atas segala agama meskipun orang Musyrik membenci.” [Surah al-Saff: 9]
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 27 Rabi‘ al-Awwal 1448 / 9 September 2026
[Bil: 57 / 2026]




























