Terengganu, Malaysia

Muktamar PAS Ke-72 Jadi ‘Turning Point’ Perkasa Gerak Kerja Hadapi PRU16

6102842275432962353

KUALA TERENGGANU, — Muktamar Tahunan PAS ke-72 menjadi ‘turning point “atau titik perubahan penting kepada seluruh anggota parti untuk memperkemas dan memperkasa gerak kerja menghadapi agenda politik yang bakal berlangsung, termasuk Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Riduan Mohd Nor berkata, muktamar bukan sekadar medan menghimpunkan ahli dan membincangkan perjalanan perjuangan parti, sebaliknya perlu diterjemahkan sebagai momentum baharu untuk mengoperasikan gerak kerja secara lebih tersusun dan berkesan.

“Harapan semoga muktamar ini menjadi turning point gerak kerja untuk kita mengoperasikan gerak kerja yang akan berlangsung pada tahun ini, insya-Allah,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut, usia PAS yang mencapai 72 tahun turut melambangkan kematangan gerakan berkenaan yang terus berkembang sebagai sebuah gerakan Islam dan kini mempunyai pengaruh besar di peringkat Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, PAS kini mempunyai 149 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di seluruh negara, selain menyifatkan parti itu sebagai antara kuasa politik dominan dalam landskap politik semasa.

“72 tahun melambangkan kematangan gerakan ini yang ditubuhkan sebagai kesinambungan daripada Ikhwanul Muslimin yang meningkat 72 tahun dan menjadi parti yang paling dominan dalam Parlimen dan DUN.

“Insya-Allah, selepas Melaka kita akan menguasai kerajaan Persekutuan pada PRU ke-16,” katanya.

Dr Riduan berkata, justeru seluruh abnaul harakah digalakkan hadir bagi menyaksikan serta menghayati pelbagai pengisian yang disediakan sepanjang muktamar.

Katanya, program berkenaan bukan hanya berkisar mengenai sejarah perjuangan PAS, malah turut merangkumi segmen kesenian dan kebudayaan serta pengisian bersama murabbi ummah, al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus.

“Program ini disambung dengan gerakan oleh YB Dato’ Amar Diraja Kelantan, Mohd Amar Abdullah serta seluruh entiti parti termasuk Pemuda, Muslimat, Dewan Ulamak dan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP).

“Semua digalakkan menjadi pemerhati untuk menyaksikan terutama perasmian pada pagi Jumaat,” katanya.

Beliau berkata, kehadiran ahli dalam muktamar juga penting bagi memugar kembali semangat perjuangan, menghimpunkan kekuatan dan memperkukuh ukhuwah dalam kalangan anggota parti.

“Kehadiran sangat digalakkan untuk memugar semangat ahli-ahli kita, menghimpunkan kekuatan, ukhuwah dan juga mendengar taujihat daripada pimpinan-pimpinan kita,” jelas beliau

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan