KUALA TERENGGANU – Pameran sempena Sambutan Jubli Intan 75 Tahun Penubuhan PAS bakal menjadi antara platform penting untuk memperkenalkan sejarah, perjuangan dijangka menarik 30,000 pengunjung.
Pengarah Jabatan Arkib PAS Terengganu, YB Hilmi Dato’ Harun berkata, Pameran yang diadakan bersempena Muktamar Tahunan PAS Ke -72 itu akan mengetengahkan pelbagai bahan sejarah berkaitan perjalanan PAS Pusat dan negeri Terengganu.
“Pameran itu turut memberi peluang kepada pengunjung melihat sendiri artifak yang berkaitan dengan perkembangan PAS dari zaman awal penubuhannya sehingga ke era semasa.
“Sejak penubuhannya pada 24 November 1951, termasuk dokumen, bahan arkib, sejarah awal penubuhan dan pelbagai artifak,” jelasnya.
Katanya, ia dianjurkan melalui kerjasama Jabatan Arkib PAS Pusat dengan Jabatan arkib negeri, termasuk Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), selain membabitkan pelbagai dewan, Pustaka Ummah dan jabatan-jabatan dalam PAS.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir itu, pameran berkenaan dijangka menjadi ruang untuk masyarakat menelusuri perjalanan panjang PAS, khususnya perkembangan perjuangan parti di Terengganu yang mempunyai sejarah tersendiri dalam politik dan gerakan Islam negara.


“Kita menyasarkan kehadiran lebih 30,000 pengunjung sepanjang tempoh ia berlangsung, dari 2hb hingga 5hb September di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK),Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan,
“Pameran ini bukan sekadar mempamerkan bahan-bahan lama, tetapi menjadi satu usaha untuk mendedahkan sejarah dan legasi perjuangan PAS kepada masyarakat, khususnya generasi muda yang mungkin tidak mengetahui sejarah tersebut secara dekat,” tambah Hilmi.
Justeru itu, beliau berharap pameran tersebut dapat menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat dengan sejarah perjuangan PAS di Terengganu, di samping membuka ruang kepada orang ramai untuk memahami perkembangan parti berdasarkan sumber dan bahan sejarah yang dipamerkan.
Pameran itu kata beliau, berpotensi menarik penyertaan lebih ramai golongan muda dan kelompok atas pagar, terutama menerusi pelbagai program serta aktiviti yang dianjurkan sepanjang tempoh pameran.
“Kita mahu generasi muda dapat melihat sendiri bahan-bahan sejarah dan memahami bagaimana perjuangan ini berkembang dari satu generasi kepada generasi berikutnya,” katanya.
Sambutan Jubli Intan 75 Tahun PAS yang berpaksikan sejarah penubuhan pada 24 November 1951 itu sekali gus menjadi kesempatan untuk menilai kembali perjalanan, sumbangan serta cabaran yang dilalui parti sepanjang tempoh 75 tahun.





























