100 Bekas Anggota Polis, Tentera Diraikan Sempena Merdeka

3

BESUT – Seramai 100 bekas anggota polis dan tentera dari sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Jerteh diraikan dalam Majlis Makan Apresiasi Pahlawan Sempena Merdeka Ke-69.

Ahli Jawataniuasa PAS Pusat YB Ustaz Riduan Mohd Noor berkata, penghargaan itu amat wajar diberikan kepada golongan berkenaan kerana jasa mereka kepada negara tidak seharusnya dilupakan.

“Walaupun sudah tidak lagi menyarung uniform.

“Bersempena bulan kemerdekaan ini, kita mahu mereka tahu bahawa jasa dan pengorbanan mereka masih diingati,” katanya ketika hubungi.

Menurut ADUN Jerteh itu, kesemua mereka dikenal pasti dengan kerjasama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di kawasan masing-masing.

Katanya, meskipun sebahagian daripada bekas anggota berkenaan kini tidak lagi mempunyai kudrat seperti ketika mereka aktif berkhidmat, sumbangan mereka tetap mempunyai nilai yang besar.

“Mungkin hari ini kudrat tidak lagi seperti dahulu, namun khidmat bakti dan pengorbanan yang pernah dicurahkan untuk negara tetap besar nilainya di hati kita,” katanya.

Tambah Ustaz Riduan, majlis tersebut merupakan usaha kecil Pejabat ADUN Jerteh untuk menyantuni bekas anggota keselamatan dan menggembirakan hati mereka sempena sambutan bulan kemerdekaan.

“Sudah tentu sebuah majlis tidak akan mampu membalas segala jasa dan pengorbanan yang telah mereka curahkan kepada negara. Tetapi sekurang-kurangnya ia menjadi tanda bahawa jasa mereka tetap dikenang dan dihargai,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa keamanan dan kemerdekaan yang dinikmati rakyat hari ini mempunyai kaitan rapat dengan pengorbanan anggota keselamatan yang terdahulu.

“Kita tidak mahu generasi hari ini melupakan mereka yang pernah berkorban tenaga, masa dan usia demi memastikan negara berada dalam keadaan aman dan selamat,” jelasya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua bekas anggota polis dan tentera yang pernah berkhidmat, khususnya mereka yang berasal dari sekitar DUN Jerteh.

“Terima kasih kepada para pejuang tanah air yang berada di DUN Jerteh. Jasa kalian tetap dalam ingatan dan akan terus kami hargai,” katanya.

Justeru kata beliau, majlis itu turut menjadi ruang untuk para bekas anggota keselamatan bertemu rakan-rakan seperjuangan serta mengimbau kembali pengalaman ketika berkhidmat demi negara.

“Selamat menyambut Hari Kebangsaan. Terima kasih, pahlawan tanah air kami,” kata beliau lagi.