KUALA TERENGGANU – PAS akan memberi tumpuan kepada usaha memperkemas jentera pilihan raya serta memperkukuh perpaduan anggota pada Muktamar PAS yang akan diadakan nanti.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, perpaduan dalam kalangan anggota parti ketika ini berada dalam keadaan bersedia tanpa sebarang krisis dalaman
“Perpaduan parti, alhamdulillah. Kita perpaduan anggota baik-baik. Tak ada krisis dalaman,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan Kuliah Dhuha di Sini, semalam.
Sehubungan itu, Ustaz Abdul Hadi berkata, PAS akan turut memberi perhatian kepada agenda perpaduan ummah termasuk usaha mengajak masyarakat Melayu Islam serta bukan Islam yang tidak ekstrem untuk bersama dalam agenda tersebut.
“Insya-Allah kita akan sentuh (dalam muktamar) Iaitu tema kita nak mengajak perpaduan ummah.
“Perpaduan orang Melayu Islam dan orang bukan Islam yang tidak ekstrem,” katanya.
Tegas beliau, kemas kini jentera pilihan raya penting bagi memastikan kesiapsiagaan parti menghadapi pilihan raya akan datang.
PAS Terbuka Kerjasama Hadapi PRN Melaka
Oleh itu, PAS terbuka untuk bekerjasama dengan parti-parti rakan dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Melaka termasuk mana-mana parti yang bersedia menjalin kerjasama.
Ustaz Abdul Hadi Awang menambah, Umno turut dijemput menghadiri Muktamar Kali Ke-72, selain kerjasama politik dan memperkukuh hubungan bersama parti-parti rakan dalam Perikatan Nasional (PN).
“Jemputnya parti-parti rakanlah dalam Perikatan Nasional, mana-mana parti yang nak bekerjasama dengan kita. Umno dijemput,” katanya lagi.
Bagaimanapun katanya, ketika ditanya mengenai BERSATU, beliau menjelaskan bahawa parti itu secara teknikalnya telah terkeluar daripada PN.
“Dia lawan kita (PAS) maknanya dia telah terkeluar dari Perikatan Nasional, pada pilihan raya negeri, Negeri Sembilan” tegasnya.
Mengulas kemungkinan ruang kerjasama dengan BERSATU, Abdul Hadi berkata perkara itu perlu dilihat berdasarkan perkembangan politik semasa, termasuk tindakan BERSATU yang pernah bertanding menentang PAS.
Beliau turut mengesahkan perbincangan berkaitan kerjasama menghadapi PRN telah dibuat, namun perkara berkenaan masih dalam proses perbincangan.
“Perbincangan sudah dibuat akan dimuktamadkan bila DUN Melaka bubar dan ketika kita mahu mengisytiharkan calon nanti” katanya.




























