RCI Tabung Haji: Amanah Pendeposit Perlu Dijaga

3

SEPANG – Amanah yang diberikan pendeposit Tabung Haji perlu dijaga sebaiknya dan tidak boleh diseleweng atau diambil kesempatan oleh mana-mana pihak.

Ketua Penerangan PAS Kawasan Kuala Terengganu, YB Ahmad Shah Mohamed berkata, prinsip halal dan haram perlu dijadikan garis panduan utama dalam menguruskan amanah, khususnya membabitkan dana umat Islam.

Menurutnya, pendeposit Tabung Haji telah menabung sekian lama dengan harapan simpanan mereka dapat digunakan untuk menyempurnakan ibadah haji.

“Kita harap dari sudut amanah yang diberi oleh penabung-penabung yang sekian lama menabung untuk menyempurnakan ibadah haji itu tidak diselewengkan dan tidak diambil peluang oleh pihak-pihak tertentu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelepasan Pelajar Terengganu ke Timur Tengah bagi sesi 2026/2027 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Tambahnya, umat Islam seharusnya lebih menitikberatkan soal amanah kerana hukum halal dan haram merupakan garis panduan dalam kehidupan.

“Kalau yang halal, halal dan yang haram, haram. Kita harap semua pihak dapat menjaga batasan-batasan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Shah berkata isu yang berlaku tidak seharusnya hanya dilihat dari sudut Tabung Haji semata-mata, sebaliknya perlu menjadi iktibar kepada agensi lain.

Tambahnya, terdapat agensi lain yang juga perlu diperbetulkan sekiranya wujud kelemahan atau salah laku dalam pengurusan.

“Kita harap bukan sahaja Tabung Haji yang dilihat dari sudut salah laku, tetapi banyak lagi agensi lain yang perlu kita perbetulkan, insya-Allah.

“Kita harap perkara ini menjadi satu iktibar kepada kita orang Islam,” katanya.