Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, menegaskan pendekatan Amerika Syarikat (AS) yang berasaskan paksaan, ugutan dan tekanan tidak akan berjaya memaksa Tehran tunduk kepada kehendak Washington.
Beliau berkata, sebarang usaha menyelesaikan pertikaian menerusi tekanan hanya akan merumitkan proses diplomasi serta mengurangkan peluang mencapai persetujuan.
“Kebergantungan Amerika Syarikat kepada paksaan dan buli hanya akan menjadikan proses pelaksanaan lebih rumit,” katanya.
Katanya, Iran tetap bersedia menggunakan saluran diplomatik, namun rundingan perlu dilakukan berdasarkan rasa hormat terhadap kedaulatan negara dan hak sah Iran.
Menurutnya, Washington perlu mengubah pendekatan jika benar-benar mahu mencapai penyelesaian terhadap pertikaian antara kedua-dua negara.
“Kami mengharapkan Amerika mengubah pendekatannya dan menghormati hak sah Iran serta peraturan antarabangsa,” jellasnya.
Kenyataan itu dibuat ketika Pezeshkian menerima kunjungan Ketua Turus Angkatan Tentera Pakistan, Field Marshal Syed Asim Munir, di Tehran.
Pertemuan berkenaan turut menyentuh usaha diplomatik untuk meredakan ketegangan Iran-AS. Pakistan sebelum ini memainkan peranan sebagai pengantara dalam usaha membuka ruang dialog antara Tehran dan Washington.
Pezeshkian turut menegaskan bahawa tekanan luar tidak akan mematahkan pendirian Iran.
“Iran tidak akan tunduk kepada buli,” katanya sambil memberi amaran bahawa sebarang serangan baharu terhadap negaranya akan menerima tindak balas.
Beliau bagaimanapun menekankan kepentingan menghentikan konflik melalui penyelesaian politik dan diplomatik.
Sementara itu, Munir memberi jaminan bahawa Pakistan bersedia meneruskan peranan sebagai pengantara bagi membantu mengurangkan ketegangan serta menggalakkan rundingan.
Perkembangan itu menunjukkan Tehran masih membuka ruang kepada diplomasi, tetapi menolak sebarang rundingan yang disertai ancaman atau tekanan ketenteraan.
Pendirian Pezeshkian itu sekali gus memperlihatkan mesej Iran kepada Washington: Tehran bersedia berunding, tetapi tidak akan berunding dalam keadaan dipaksa atau dibuli. IRNA






























