BESUT – Budaya politik memberi khidmat dan penyelesaian masalah rakyat ‘wajiib’ menjadi amalan sepanjang masa, bukan hanya muncul ketika tempoh hampir pilihan raya.
Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, YB Haji Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman menegaskan, selain politik matang dan sejahtera, jentera mesti turun, mendengar masalah serta memahami ‘detak jantung’ rakyat.
“Kita tidak mahu politik yang hanya muncul bermusim hanya apabila pilihan raya semakin dekat.
“Kita tidak mahu politik yang hanya pandai bercakap di pentas-pentas. Kita mahu politik yang turun ke bawah, mendengar masalah rakyat, memahami denyut nadi rakyat dan mencari penyelesaian untuk rakyat dan masyarakat,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung PAS Kawasan Besut kali ke 61 di Dewan Gong Kemuntong, Jerteh, semalam.
Menurutnya, kekuatan sesebuah organisasi politik bukan dinilai berdasarkan kehebatan berucap atau jumlah poster yang dipasang, tetapi berdasarkan sejauh mana masalah rakyat dapat dibantu dan diselesaikan.


“Saya mahu organisasi kita di Besut ini dikenali bukan kerana hebatnya kita berucap, tetapi kerana kuatnya kita bekerja untuk masyarakat dan rakyat.
“Saya juga mahu organisasi kita dikenali bukan kerana banyaknya poster-poster yang kita pasang, tetapi kerana banyaknya masalah rakyat yang kita bantu dan selesaikan,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan seluruh kepimpinan dan anggota supaya memahami, jawatan bukan satu kemuliaan, sebaliknya adalah amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.
Dalam usaha memperkukuhkan khidmat kepada rakyat, beliau berkata, pusat khidmat masyarakat DUN dan jentera kawasan perlu bekerja secara lebih sistematik dengan memastikan setiap aduan rakyat direkodkan, dipantau serta diberikan maklum balas yang jelas.
Tambahnya, budaya kerja yang ingin dibina berteraskan konsep “Dengar, Faham, Bantu dan Selesaikan” supaya perkhidmatan kepada masyarakat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Justeru itu, beliau turut menyeru supaya organisasi di peringkat cawangan diperkukuhkan dan sentiasa aktif, bukan hanya ketika mesyuarat agung atau musim pilihan raya.
“Jawatan bukanlah kemuliaan, jawatan adalah amanah. Kedudukan bukan keistimewaan, kedudukan adalah tanggungjawab,” katanya.





























