“Mereka mengedarkan notis panggilan kerahan kecemasan sekarang, ” kata jurucakap tentera.
“Sebagai sebahagian Operasi Tiang Pertahanan pihak IDF (Pasukan Pertahanan Israel), akan mula mengambil 16,000 anggota askar kerahan,” kata tentera Israel melalui akaun Twitternya.
Kebanyakan serangan Israel terhadap Gaza bagi tempoh tiga hari lalu dilakukan dari udara tetapi pihak berkuasa mengatakan serangan dari darat mungkin perlu dilaksanakan bagi menghalang serangan roket ke wilayah selatan Israel.
Pihak tentera Israel perlu bergantung kepada askar kerahan untuk bertempur dalam sebarang peperangan berlanjutan.
Anggota kerahan tambahan itu merupakan sebahagian daripada 30,000 anggota kerahan yang dipanggil Menteri Pertahanan Israel, Encik Ehud Barak, bagi serangan darat yang mugkin dilaksanakan di Gaza.
Arahan mengerahkan askar kerarahan itu tiba sejurus selepas dua roket dilancarkan ke kawasan Tel Aviv.
Serangan itu merupakan yang pertama terhadap bandar terbesar Israel itu sejak berlakunya Perang Teluk pada 1991.
Menyusuli serangan itu, pihak IDF telah meningkatkan serangan dari udara dan laut ke arah sasaran di kawasan pantai wilayah Palestin.
Dalam satu kenyataan, IDF menyatakan serangan-serangan sepanjang malam pihaknya menyasarkan sekitar 150 tapak pelancaran roket jarak sederhana serta kemudahan menyimpan peluru di Jaluran Gaza.
“Hasil daripada serangan berterusan pihak IDF ke atas tapak pelancaran roket, serangan roket ke Israel sepanjang malam telah berkurangan dengan banyak, dengan hanya beberapa roket yang mengena kawasan terbuka,” jelas kenyataan itu.
Awal semalam, 85 misil meletup dalam masa 45 minit di Gaza City, menyebabkan asap berkepul-kepul naik ke udara di bandar terbesar kawasan pantai jaluran itu.
Pihak tentera Israel mengatakan mereka sedang menyasarkan tapak pelancaran roket bawah tanah.
Sejak bermulanya Operasi Tiang Pertahanan menentang Hamas Rabu lalu, pasukan Tentera Udara Israel telah menyasarkan lebih 450 tapak di Jaluran Gaza. – Agensi.





























