PN Hormati Keputusan PRN Johor, Akan Terus Jadi Suara Rakyat

136

KUALA TERENGGANU – Perikatan Nasional (PN) menghormati segala keputusan yang telah ditentukan oleh rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor serta berikrar akan terus istiqamah membawa suara rakyat dengan mengamalkan politik yang matang, berintegriti dan mengutamakan kebajikan masyarakat.

Pengerusi Perikatan Nasional, Dato ‘ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada seluruh rakyat Johor yang telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, sekali gus menyifatkan penyertaan mereka sebagai manifestasi kematangan dalam proses demokrasi.

Beliau turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh jentera Perikatan Nasional yang telah bertungkus-lumus sepanjang tempoh berkempen.

“Pengorbanan masa, tenaga dan komitmen yang dicurahkan menjadi bukti bahawa perjuangan ini digerakkan dengan penuh kesungguhan demi membawa khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lebih lanjut, katanya apa jua keputusan yang telah ditentukan, Perikatan Nasional menerimanya dengan hati yang terbuka serta penuh rasa hormat terhadap proses demokrasi yang berlangsung.

Dalam pada itu , beliau turut merakamkan ucapan terima kasih atas kepercayaan, sokongan dan doa yang diberikan oleh rakyat sepanjang berlangsungnya PRN Johor.

“Insya-Allah, Perikatan Nasional akan terus istiqamah menjadi suara rakyat, membawa politik yang matang, berintegriti serta mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan semua,” katanya.

Beliau turut mendoakan agar Allah SWT terus memberkati negeri Johor serta mengurniakan kesejahteraan kepada seluruh rakyatnya.