MUAR – Kebajikan rakyat menjadi fokus utama dalam Tawaran Awal MAHARANI yang dibawa bagi memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat pembelaan, di samping memperkasakan pembangunan modal insan dan meningkatkan kualiti hidup penduduk di DUN Maharani.
Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani, Ustaz Anuar Hayan berkata, gerak kerja kempen yang dilaksanakan setakat ini telah mencapai kira-kira 70 peratus secara keseluruhan, merangkumi kempen di lapangan dan media sosial.
“Jumlah rumah secara amnya.. pasukan kempen kita telah memasuki sebahagian kawasan taman bandar, sebahagian besar rumah-rumah pengundi di kawasan kampung,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, penglibatan dalam aktiviti kebajikan dan pembangunan modal insan di DUN Maharani sentiasa menjadi keutamaan kerana kedua-dua aspek itu penting dalam membina sebuah masyarakat yang sejahtera dan berdaya saing.
“Saya mempunyai gabungan unik antara kemahiran, pengalaman relevan, dan nilai tambah yang dapat menyelesaikan masalah kebajikan dengan berkesan,” ujar Anuar.
Beliau menambah, tawaran awal MAHARANI merangkumi lapan teras utama iaitu pembangunan modal insan, pemerkasaan agama, peningkatan kemudahan awam dan infrastruktur, kepimpinan yang adil, pembelaan kebajikan rakyat, pembangunan anak muda, pendekatan yang dekat dengan masyarakat serta pengukuhan integriti dalam tadbir urus.
Menurutnya, semua teras tersebut dirangka bagi memastikan pembangunan di Maharani dapat dilaksanakan secara menyeluruh tanpa mengabaikan keperluan dan kebajikan rakyat.
Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi DUN Maharani supaya keluar mengundi lebih awal dan memberikan sokongan kepada calon nombor satu pada hari pengundian bagi merealisasikan agenda pembangunan yang dibawa untuk kawasan tersebut.





























