MUAR – Tawaran kepimpinan yang mengutamakan khidmat kepada rakyat, pembangunan kawasan dan pemerkasaan golongan belia menjadi antara fokus yang dibawa Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.16 Sungai Balang pada Pilihan Raya Negeri Johor.
Calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Sungai Balang, Amin Sailan, berkata beliau menawarkan diri bukan dengan janji semata-mata, sebaliknya membawa tekad untuk bekerja, mendengar suara rakyat dan berjuang bersama masyarakat bagi memajukan kawasan tersebut.
Menurut beliau, Sungai Balang mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sekiranya semua pihak berganding bahu, sekali gus mewujudkan sebuah kawasan yang lebih maju, sejahtera dan mesra golongan muda.
“Saya menawarkan khidmat dengan rasa rendah diri. Insya-Allah, dengan semangat kebersamaan, kita mampu membina masa depan Sungai Balang yang lebih baik untuk seluruh masyarakat,” jelasnya ketika dihubungi.


Beliau berusia 37 tahun, merupakan lepasan Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir dan mempunyai pengalaman dalam bidang pengurusan, dakwah, kepimpinan belia serta khidmat masyarakat.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pegawai Khas kepada ADUN Maharani.
Selain aktif dalam masyarakat sebagai imam, ahli jawatankuasa surau dan penceramah bebas, beliau turut memegang jawatan Pengerusi DACS Dewan Pemuda PAS Johor serta pernah menganggotai Jawatankuasa DACS Dewan Pemuda PAS Malaysia.


Justeru itu, beliau berharap pengalaman yang dimiliki dapat dimanfaatkan untuk membawa suara dan kebajikan rakyat Sungai Balang sekiranya diberikan mandat pada pilihan raya ini
“Di samping mengajak pengundi mengenali beliau dengan lebih dekat demi membina hubungan yang lebih erat bersama masyarakat,” katanya.






























