Pernah Dihalang Masuk Felda, Lumrah Politik

68

Oleh : Hidayah Azlin

SETIU – PAS pernah dihalang masuk ke kawasan Felda namun ia merupakan lumrah biasa yang perlu dihadapi dengan tenang oleh setiap ahli politik sebelum diterima.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato’Dr Azman berkata, apabila mengimbau kembali memori 14 tahun lalu, katanya insiden berlaku ketika beliau menyertai Konvoi Kembara Oren Selamatkan Felda pada 7 Jun 2012, di mana dirinya bersama para peserta lain telah dihalang daripada memasuki Felda Selasih, Jabi.

Malah menurutnya, situasi tegang pada waktu itu turut menyaksikan segelintir pihak yang berhimpun melaungkan kata-kata penolakan terhadap kehadiran mereka.

“Saya dengar orang yang berhimpun pada hari itu berteriak, ‘Azman! Orang Felda tak mahu kamu!,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi itu melahirkan rasa syukur kerana landskap politik di kawasan berkenaan kini telah berubah sepenuhnya seiring dengan berjalannya waktu.

“Alhamdulillah, sekarang Felda Selasih dah jadi antara kubu kuat PAS Jabi. Sekarang Alhamdulillah, tidak menang tangan sebelah kita pula nak masuk Felda. Kita sayang semua orang Felda,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut mengenai kemungkinan isu halangan kemasukan ke kawasan Felda berulang kembali kepada mana-mana pihak, Dr Azman menasihatkan agar semua pihak tidak melatah dan mengendalikannya dengan matang.

“Jadi, tenang-tenang sahaja kalau ada lagi berlaku kes tak boleh masuk Felda. Lumrah biasa yang pernah dilalui seorang ahli politik,” tambah beliau lagi.