Federalisme Diperkasa, Suara Negeri Diraikan Demi Kesejahteraan Rakyat

60

KUALA TERENGGANU – Mesyuarat Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri Ke-149 menjadi wadah memperkukuh federalisme serta memastikan suara negeri didengari demi pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata mesyuarat yang menghimpunkan pemimpin-pemimpin negeri bersama Kerajaan Persekutuan itu membincangkan pelbagai isu strategik.

“Berkaitan pembangunan, ekonomi, kebajikan rakyat serta cabaran semasa yang memerlukan kerjasama erat antara kedua-dua pihak.

“Amalan federalisme yang matang dan konstruktif merupakan asas penting bagi menjamin setiap negeri diberikan ruang sewajarnya untuk menyuarakan pandangan, berkongsi keperluan serta mengemukakan cadangan demi kepentingan rakyat, ” katanya dalam kenyataan yang dikongsikan bertarikh 23 Jun.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya I PAS Terengganu itu, hubungan yang baik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bukan sahaja memperkukuhkan sistem tadbir urus negara, malah membantu memastikan pelaksanaan dasar dan program pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Perbezaan latar belakang, keutamaan dan cabaran yang dihadapi oleh setiap negeri perlu diraikan dalam kerangka kerjasama yang saling menghormati serta berteraskan kepentingan negara,” ujarnya.

Beliau berkata, pendekatan tersebut penting bagi memastikan pembangunan yang dirancang mengambil kira keperluan sebenar rakyat di setiap negeri tanpa mengetepikan prinsip keadilan dan kesaksamaan.

“Mesyuarat itu turut menjadi medan untuk memperkukuhkan persefahaman antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam menghadapi cabaran semasa termasuk aspek ekonomi, pembangunan infrastruktur dan kesejahteraan sosial.

“Selain bertukar pandangan, para pemimpin turut meneliti pelbagai cadangan serta langkah penambahbaikan yang mampu memberi manfaat langsung kepada rakyat di seluruh negara,” jelasnya.

Katanya, kerjasama erat yang terjalin melalui platform seperti ini dilihat mampu memperkukuhkan perpaduan pentadbiran negara serta meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Diharapkan segala perbincangan dan keputusan yang dicapai dalam mesyuarat tersebut dapat memperkukuhkan amalan federalisme, mempererat hubungan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan serta menjadi pemangkin kepada kemakmuran dan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia,” katanya lagi.