KUALA TERENGGANU – Penganjuran Sukan Rakyat bukan sekadar menghidupkan budaya sukan tradisional, malah menjadi platform memperkukuh hubungan masyarakat dan institusi keluarga.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pelbagai acara sukan rakyat yang disertai peserta daripada pelbagai peringkat umur.
Menurutnya, acara seperti bowling nyior, tuju gol, timbang bola takraw dan bola jaring berjaya mewujudkan suasana ceria dan menyemarakkan semangat kesukanan serta kebersamaan dalam kalangan penduduk.


“Apa yang paling bermakna bukan sekadar pertandingan, tetapi ruang yang terhasil untuk masyarakat berkumpul, bertegur sapa, mengeratkan silaturrahim serta meluangkan masa bersama keluarga dan sahabat handai,” jelasnya dalam laman sosialnya, semalam.
Beliau menambah, program seumpama itu membuktikan aktiviti kemasyarakatan berteraskan nilai syariat mampu menyatukan komuniti dalam suasana harmoni dan penuh keberkatan.


“Mudah-mudahan program seperti ini terus menjadi medan menyatukan komuniti dan menyuburkan semangat hidup bermasyarakat,” katanya.
Program tersebut mendapat sambutan meriah daripada masyarakat setempat dan memperlihatkan bagaimana aktiviti riadah mampu menjadi wadah memperkukuh perpaduan serta memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat.






























