“Kita Tidak Menang Sebab Ramai Atau Hebat”

38

KUALA TERENGGANU – Kemenangan PAS bukan kerana kehebatan gerak kerja atau semata-mata kerana ramainya orang menyokong namun menurut Timbalan Presidennnya Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, disebabkan pertolongan Allah SWT.

“Kita tidak menang sebab ramai atau hebat, tetapi kerana pertolongan Allah. Oleh itu, tahajud jangan ditinggal, Dhuha jangan dilupa, al-Quran jangan dijauhkan, sedekah jangan ditinggalkan dan zikir jadikan amalan,” jelas beliau.

Oleh itu, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menyeru agar seluruh ahli dan penyokong, terus memperkukuhkan kesatuan saf serta istiqamah dan beliau mengingatkan bahawa perjuangan Islam bukan sekadar mengejar kemenangan, sebaliknya mencari keredaan Allah SWT

“Ramai pejuang sebelum kita berkorban bertahun-tahun tanpa sempat melihat kemenangan, namun mereka tetap istiqamah kerana yang dicari adalah keredaan Allah, bukan habuan dunia,” katanya.

Justeru menurut beliau, cabaran yang dihadapi hari ini bukan lagi semata-mata untuk mencapai kemenangan, tetapi bagaimana untuk mempertahankannya dengan penuh amanah, disiplin dan taqwa.

Beliau berkata demikian lketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kuala Terengganu Kali Ke-51, Markaz Tarbiyah Kuala Ibai, dekat sini, semalam.

Mesyuarat agung kali ini turut mencatat detik bersejarah apabila berlangsungnya Pelancaran Sambutan 70 Tahun Penubuhan PAS Kawasan Kuala Terengganu yang menjadi simbol penghargaan terhadap sejarah panjang perjuangan dan jasa generasi terdahulu dalam membangunkan PAS di kawasan ini.

Sebagai tanda penghormatan dan penghargaan, hadiah istimewa disampaukan kepada para perwakilan yang berusia 70 tahun ke atas.

Pemberian tersebut mendapat sambutan penuh rasa syukur dan terharu, daripada para Assabiqun, sekali gus mengiktiraf pengorbanan serta kesetiaan mereka yang telah mengabdikan usia demi perjuangan Islam.