Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor
PAS dalam tujuh dasawarsa Ini telah bergulat dengan lapangan dakwah tarbiah dan siasah, merentas gelora tekanan politik regim sehinggalah menikmati kejayaan menghantar paling ramai Ahli Parlimen serta ADUN diseluruh negara. Semalam dalam mesyuarat PAS Pusat juga meluluskan empat ribu lebih keahlian baru dimana majoritinya adalah anak anak muda. Keanggotaannya sentiasa membesar walau pelbagai tuduhan, usaha meremehkan PAS dibuat oleh para pembenci. Ramai sarjana Sains Politik meletakkan kekuatan PAS adalah kerana dipandu oleh alim ulama Serta dasarnya yang kukuh. Rakan sekutu politik, pimpinan boleh datang dan juga pergi meninggalkan bahtera PAS namun harakatul ummah ini terus bergerak dengan dasarnya yang utuh.
Perjalanan panjang harakatul ummah ini sangat berwarna warni, menerjang badai di samudera medan amal Islami yang luasnya tak bertepi, bersulam mehnah dan tribulasi. Dalam bahtera besar gerakan Islam PAS ini, Majlis Syura Ulama merupakan pancang perjuangan, badan terpenting, malah membezakan PAS dengan Parti-parti serta NGO-NGO yang lain. Kini, badan penting ini menerima terjahan dan kritikan daripada luar dan dalam PAS, disuluh dengan arca tembus pandang bagi memastikan PAS terus bergerak diatas landasan yang kukuh.
PAS dikawal perjalanannya oleh Majlis Syura ulama, sebuah badan yang yang tercetus daripada usul Dewan Pemuda PAS Pusat dalam muktamar PAS pada 22 Oktober 1982, seiring dengan transformasi yang berlaku dalam kepimpinan PAS. Badan ini menjadi ‘vanguard’ yang berautoriti dan mesti dilihat “bersih” para pengawal dalam entiti terpenting parti ini.
Peranannya jelas, iaitu Majlis Syura Ulamak berkuasa menghurai, menjelas dan mentafsir dasar PAS di mana-mana peruntukan di dalam perlembagaan PAS yang hendak menimbulkan kesamaran mengenai maksud dan tujuannya serta membuat kesamaran mengenai maksud dan tujuannya serta membuat ketetapan mengenainya, mengeluarkan arahan dan perintah supaya dasar dan ketetapan ini dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan di dalam PAS dan mengawasai serta memelihara dasar supaya dasar dan ketetapan serta kehendak dalam Perlembagaan parti dipatuhi dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS serta memelihara, menjaga dan mengawal tatatertib PAS.
ulamak di dalam gerakan Islam ini dan meletakkan mereka di tempat yang sepatutnya. Peranan mereka bukan sahaja menyatu tenaga dan fikiran sesama ulamak tetapi juga terfokus dan terarah kepada persoalan-persoalan yang menyentuh dasar dan perjalanan parti ini. Segala gerak kerja PAS yang hendak dilakukan mestilah mendapat persetujuan daripada Majlis Syura Ulamak. Dengan wujudnya badan ini, mampu mengatasi stail kepimpinan berorientasikan individu yang pernah berlaku dalam PAS dalam dekad 70an.
Bagi mengesahkan kepimpinan ulamak di peringkat PAS Pusat maka pindaan Perlembagaan PAS dibuat dalam Muktamar Tahunan Agung PAS Pusat yang ke-29 pada 29 April 1983 telah meluluskan pindaan Perlembagaan PAS bagi menubuhkan Majlis Syura Ulamak. Pindaan ini kemudian diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan pada 18 Mac 1987 bagi membolehkan seorang Mursyidul Am dilantik (Perlembagaan PAS, Fasal 7, 1987:4-9) dan Ustaz Haji Yusuf Rawa dilantik sebagai al-Mursyidul Am PAS pertama pada November tahun 1987, uniknya beliau juga adalah Presiden PAS saat itu.
Harakatul ummah ini sangat signifikan dalam pandangan warga negara ini, maka tak pelik jika segala isu berkaitan dengan Islam maka PAS akan terus diserang dan dihujat oleh netizen. Lihatlah isu PAS BERSATU yang berlaku minggu ini, paling jahat menuduh ini adalah agenda beberapa kerat pimpinan sedangkan ia dibincang dengan masak oleh pimpinan Pusat setelah Majlis Syura Ulama memberikan garis pandangan Dalam menanggani isu besar ini. Pandangan PAS serta Majlis Syura Ulama PAS dinanti – nantikan oleh rakyat serta ahlinya maka sebab itulah ahli MSU mestilah dipilih daripada kalangan yang terbaik ( Sofwah mukhtarah) ,piawai dan mempunyai pakej kompetensi . Ahli MSU wajib dipilih daripada kalangan yang paling fakih , bergulat dalam medan operasional walaupun menggalang jawatan sebagai cendekia di menara gading.
Empat dekad lebih Kepimpinan ulama telah berlangsung , PAS menjadi tarikan pesona terbesar kepada umat Islam di negara ini serta turut menjadi rujukan kepada gerakan Islam yang lain dalam dunia kontemporari. Maka tidak pelik jika parti ini paling stabil, paling berdisiplin serta paling aman dalam membuat keputusan. PAS kini memimpin Perikatan Nasional, dengan berbondong tokoh tokoh korporat, profesional, kelompok mantan pentadbir kelas tinggi, teknokrat menyertai PAS. Itulah indikator keberkatan kepimpinan ulama yang tak menyisihkan pihak lain, muncul dengan pendekatan pelbagai untuk merengkuh sokongan massa. Insyaallah PAS adalah pilihan untuk semua dengan panduan ulama haraki.
(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)






























