Pilih Pemimpin Kerana Duit Punca Bala Menimpa Masyarakat

15

KUALA TERENGGANU – Masyarakat diingatkan supaya tidak memilih pemimpin semata-mata kerana habuan wang, kedudukan atau kepentingan duniawi kerana sikap sedemikian boleh mengundang pelbagai bentuk bala dan musibah daripada Allah SWT.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata, ramai dalam kalangan manusia hari ini tidak lagi menjadikan ilmu, akhlak dan keadilan sebagai asas dalam memilih pemimpin, sebaliknya lebih mengutamakan keuntungan duniawi.

Menurut beliau, pelbagai kesukaran hidup yang berlaku termasuk kenaikan harga barang, kesempitan rezeki dan bencana alam perlu dilihat sebagai peringatan daripada Allah SWT agar manusia kembali bermuhasabah dan memperbaiki diri.

“Pilih pemimpin bukan kerana ilmu, bukan kerana baik, bukan kerana akhlak dan adil tetapi kesenangan dunia.

“Apa juga yang berlaku, jika wang diperoleh melalui jalan maksiat, akhirnya tetap akan ada akibatnya. Jagalah diri. Bala boleh datang dalam bentuk yang nampak, dan boleh juga datang dalam bentuk yang tidak disedari serta tidak dirasai,” jelasnya dalam kuliah dhuha mingguan, di Masjid Rusila, jumaat.

Tambahnya, kejadian bencana alam seperti gempa bumi, ribut petir, taufan dan pelbagai musibah lain perlu dijadikan peringatan kepada masyarakat agar sentiasa bermuhasabah dan memperbaiki diri.

Menurut beliau, selain bencana alam, kesukaran hidup yang semakin dirasai termasuk kenaikan harga barang dan rezeki yang terasa semakin sempit juga boleh menjadi teguran serta peringatan daripada Allah SWT kepada hambaNya.

“Harga barang naik, mencari rezeki menjadi semakin sukar dan pendapatan tidak mencukupi. Semua ini wajar menyedarkan kita untuk bermuhasabah, insaf serta memperbaiki diri,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa golongan yang terus melaksanakan tanggungjawab amar makruf nahi mungkar walaupun dihina, dipenjara atau ditekan memainkan peranan penting dalam menangguhkan bala daripada menimpa masyarakat secara keseluruhan.

Menurutnya, sejarah Islam membuktikan bahawa apabila sesuatu kaum meninggalkan ajaran Islam, Allah SWT akan mengangkat kaum lain untuk mempertahankan dan memartabatkan agama tersebut.

“Jika orang Arab meninggalkan Islam, Allah memilih kaum lain seperti Turki dan bangsa-bangsa lain. Tidak mustahil jika orang Melayu meninggalkan Islam, kaum lain yang memeluk Islam akan bangkit memimpin umat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa kiamat hanya akan berlaku apabila tiada lagi orang beriman yang menegakkan agama Allah, mendirikan solat serta melaksanakan amar makruf nahi mungkar di muka bumi.

Katanya, selagi masih wujud golongan beriman yang mempertahankan agama dan menyeru kepada kebaikan, Allah SWT akan terus menangguhkan berlakunya kiamat besar.

Beliau turut menggesa umat Islam mengambil iktibar daripada kisah kaum terdahulu yang dibinasakan Allah kerana keingkaran mereka terhadap seruan para nabi dan rasul.